Pengaruh label-label fesyen terkemuka dunia memang tidak boleh disangkal. Setiap musim pasti koleksi yang dipersembahkan memberi 1001 inspirasi buat mereka yang gemar berfesyen. Menyusuri pentas peragaan setiap rumah fesyen terkemuka pasti ada sahaja DNA terbaharu yang cuba diterapkan.
Walaupun musim fesyen kini telah beralih ke pentas musim luruh/ sejuk namun rekaan fesyen musim bunga boleh diterapkan sepanjang tahun bersesuaian dengan cuaca di Malaysia. Kepelbagaian yang terserlah pada pentas peragaan label-label terkemuka memberikan seribu satu garapan idea buat wanita fashionista.
PRETTY PRINTS
Tidak ramai yang berani bergaya dengan busana yang memiliki cetakan-cetakan yang jelas seperti corak abstrak dan juga corak bunga-bungaan, namun kini gaya ini telah menjadi satu trend kegilaan pencinta-pencinta fesyen seluruh dunia. 
Pentas peragaan label terkemuka seperti Dolce & Gabanna, Roberto Cavalli, Nina Ricci & Mary Katrantzou antara yang mengetengahkan corak-corak beinspirasikan abstrak dan alam semula jadi. Rekaan busana adalah ringkas namun corak-corak yang dipersembahkan menjeritkan satu statement yang cukup gah dan menawan. Cara yang paling mudah untuk menggayakan busana seperti ini ialah keyakinan pada diri anda! 
Jangan pernah takut anda akan dikatakan keterlaluan, yang penting anda selesa dengan apa yang disarungkan. Padankan baju atau skirt yang bercorak dengan padanan yang tidak bercorak. Contohnya skirt yang bercorak flora digandingkan dengan blaus daripada warna yang terang tetapi tidak bercorak. Daripada segi aksesori pula, disarankan jangan berlebihan dan pilih dandanan yang minima.

HOT COLOURS
Kehadiran warna-warna hangat mewarnai dan merubah atmosfera dunia fesyen. Kini warna-warna hangat diterapkan dalam setiap helaian yang dimiliki. Mungkin jika di barat pemakaian warna-warna hangat popular pada musim bunga dan luruh namun bagi kita di Malaysia, tiada batasan kerana cuaca dan faktor musim yang sama sepanjang tahun. Pemakaian busana daripada palet warna yang terang bukan sahaja memberikan satu statement fesyen malah menjadikan anda lebih menyerlah dan berkeyakinan. 
Pemakaian pakaian sebegini biasanya didatangi dengan rekaan yang ringkas dan tidak keterlaluan. Untuk meredakan kehangatan warna, gandingan seperti talipinggang ataupun aksesori daripada warna-warna seperti hitam dan nude adalah disarankan. Kini banyak label-label highstreet wear yang menjual pelbagai seluar dalam rona hangat. Tepuk dada tanya selera. Ubah penampilan buat ketrampilan menawan!

PLEATS-TASTIC
Antara perincian yang popular daripada pentas fesyen musim bunga 2012 adalah pleats. Perincian seperti kedutan senada pada busana mencipta satu kelainan. Banyak label antarabangsa yang hadir dengan perincian seperti ini antaranya Chloe, Calvin Klein dan juga Elie Tahari. Maxidress daripada Chloe contohnya bermain dengan dua tona warna yang diberi perincian pleats menjadikannya kelihatan lebih menarik dan mempunyai volume yang cantik.
Kebiasaannya teknik pleats diterapkan pada helaian yang nipis dan ringan supaya tidak kelihatan besar, jadi bukan masalah jika anda berfikir anda akan kelihatan gemuk apabila menyarungkan fabrik seperti ini. Fokus utama kepada teknik ini adalah penghasilan pergerakan yang menarik apabila anda bergerak. Jangan pernah sesekali menggosok pakaian yang memiliki perincian pleats kerana ia akan merosakkannya.

BOLD PASTELS
Rona pastel jelas menjadi satu entiti yang menguasai pentas fesyen musim bunga, palet warna ini merupakan lawan kepada warna-warna terang. Ronanya yang lembut dan kelihatan sweet jika digayakan menjadi pilihan ramai mereka yang kurang berani untuk menyarungkan warna-warna garang. Lihat sahaja pada koleksi dari 3.1 Philip Lim dan juga Nina Ricci, warna-warna pastel kelihatan begitu romantis dan bold. Cukup sesuai buat mereka yang ingin tampil feminin.
Cara terbaik untuk menyerlahkan busana yang berwarna pastel adalah dengan menggandingkannya dua warna pastel dalam satu pakaian. Sebagai contoh jaket berwarna hijau epal muda digandingkan dengan warna ungu lembut. Kemasan aksesori seperti kasut tumit tinggi berona nude menjadi pelengkap gaya.