nuffnang

LIKE ME

Monday 2 July 2012

CANTIK - KESIHATAN+PEMAKANAN

Kedatangan Ramadan Al-Mubarak disambut dengan sejuta keceriaan oleh seluruh umat Islam. Tanggungjawab menunaikan rukun Islam ketiga ini diwajibkan kepada setiap Muslim, melainkan beberapa kelonggaran kepada individu yang mempunyai keuzuran. Antaranya pesakit gastrik yang perlu patuh pada waktu makan tertentu bagi mengelakkan kepayahan, menambah kesakitan atau melambatkan proses penyembuhan jika mereka terus memaksa diri untuk berpuasa.


Gastrik antara penyakit lazim dan secara umumnya ia boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu gastritis (keradangan lapisan mukosa yang melapik dinding perut) dan ulser perut atau peptik pada lapisan sel yang lebih dalam (lebih teruk berbanding gastritis). Lazimnya, keradangan berpunca daripada jangkitan bakteria helicobacter pylori (H. pylori) yang menjadi penyebab utama kepada kebanyakan ulser perut. Penghidap gastrik yang kronik biasanya dinasihatkan untuk tidak berpuasa kerana boleh memudaratkan diri.

PENYEBAB

Sel perut menghasilkan asid hidroklorik (dengan pH 1 hingga pH 2) yang berfungsi untuk mencerna makanan. Asid ini amat kuat sehingga mampu menghakis kulit jika tersentuhnya. Sel perut menghasilkan lapisan mukosa (lapisan pertahanan) sebagai pelindung daripada kesan asid hidroklorik tersebut. Jika seseorang mengadu sakit perut ketika lapar, ia menandakan asid hidroklorik terlalu banyak dalam perut dan sebaliknya jika sakit perut selepas makan, ia mungkin menandakan masalah ulser perut kerana lapisan mukosa yang sudah lemah.

Pengeluaran atau rembesan asid hidroklorik berlaku apabila ada makanan untuk memulakan proses pencernaan dan gastrik akan berlaku apabila tiada keseimbangan antara kuantiti rembesan asid hidroklorik (terlalu banyak) dengan kekuatan lapisan pertahanan (menjadi lemah). Jika lapisan pertahanan ini menjadi lemah, ulser akan berlaku kerana asid hidroklorik boleh sampai ke sel dan menyebabkan keradangan.

TANDA
  • Sakit perut di bahagian atas perut atau abdomen.
  • Senak, berangin atau pedih.
  • Rasa tidak selesa.
  • Kembung, sendawa berulang kali dan kerap kentut selepas makan.
  • Mual, loya dan muntah.
  • Hilang selera makan.
  • Penurunan berat badan.
  • Najis menjadi hitam seperti tar.
  • Muntah berdarah atau berwarna gelap seperti kopi.


PUNCA GASTRIK
  1. Penggunaan ubat penahan sakit seperti aspirin, ibuprofen dan naproxen.
  2. Pengambilan alkohol, kokain dan rokok yang berlebihan.
  3. Stres.
  4. Gangguan auto imun.
  5. Penyakit crohn.
  6. Radiasi dan kemoterapi.
  7. Pengaliran semula hempedu ke dalam perut.
  8. Rembesan asid gastrik yang berlebihan.
  9. Jangkitan kuman/parasit, terutamanya di kalangan mereka yang lemah sistem ketahanan badannya.   


Rahsia lemon, penyembuh semula jadi


 Rahsia lemon, penyembuh semula jadi 

Cahaya suria kian terbenam di ufuk barat. Tibanya waktu berbuka, acap kali minuman manis berwarna-warni menjadi pilihan utama untuk diteguk. Minuman kordial, cincau, tebu dan kopi... nah, ini antara pemuas dahaga yang wajib ada di atas meja santapan. Bagaimana jika sesekali kita lari daripada kebiasaan, rendam sehiris lemon di dalam air kosong dan tambahkan ais untuk rasa ekstra dingin? Ia bebas kalori, malah turut menyimpan seribu manfaat kesihatan pada bulan ibadat ini!

Buah lemon, merupakan sejenis buah-buahan asli Asia yang menarik dengan warna kuning terang. Di seluruh dunia, ia biasa digunakan untuk tujuan kulinari seperti diperah menjadi minuman, diramu dalam masakan serta boleh diparut untuk menambah perisa kek atau kuihmuih yang enak. Kandungan jus lemon diperkaya dengan 5-6% asid sitrik, seterusnya menitipkan rasa masam di sekitar paras pH 2-3.


KHASIAT

Sebiji lemon mampu menghasilkan kira-kira tiga sudu besar pati jus berkuantiti 50ml. Bagi memudahkan ia diperah, lemon perlu disimpan dalam suhu bilik agar jusnya lebih mudah dikeluarkan. Ia mengandungi manfaat karbohidrat, lemak, protein, thiamine (vitamin B1), riboflavin (vitamin B2), niasin (vitamin B3), asid panthothenic (vitamin B5), vitamin B6, folat (vitamin B9), vitamin C, kalsium, zat besi, magnesium, fosforus, potassium dan zink.
Bagi anda yang masih baru mengenali buah ini, menikmati lemon boleh dilakukan melalui beberapa gaya masakan seperti mencuba resipi ayam bersos lemon. Untuk menggalakkan si cilik turut mencubanya, anda mungkin boleh mengolah sendiri aiskrim lemon sorbet, agar-agar lemon, kek lemon atau perah sahaja untuk dijadikan lemonade yang segar! Sambil itu, terangkan kepada yang tersayang beberapa khasiat lemon:

  • Lemon kaya dengan antioksidan yang menyahaktifkan radikal bebas dan menghalang pelbagai penyakit berbahaya seperti strok, penyakit kardiovaskular dan kanser.
  • Jus buah ini membantu menurunkan tekanan darah dan meningkatkan paras kolesterol baik (HDL).
  • Titisan pati lemon pekat di dalam air panas dipercayai dapat membersihkan sistem penghadaman dan hati.
  • Pengambilan jus sitrus ini membantu meningkatkan produksi antibodi di dalam darah untuk menentang pelbagai jangkitan dan serangan mikroorganisma.
  • Kajian menemui khasiat anti-karsinogenik di dalam lemon untuk merendahkan risiko kanser kolon, prostat dan payudara. Ia turut mencegah kerosakan metabolisme dalam sel yang akan menukarnya menjadi karsinogenik.
  • Pesakit jangkitan salur kencing atau genorrhea juga boleh mengambil jus lemon sebagai langkah pencegahan.
  • Amalan menikmati jus lemon setiap hari membantu mengurangkan masalah sakit colic dan gastrik.
  • Amalkan sesudu sirap lemon pekat sehari untuk mengubati asma.
  • Jus lemon amat sesuai diminum untuk mencegah dehidrasi dan kesan diarea. Ia juga membantu memberikan cahaya keserian wajah.
  • Mengalami inflamasi lidah, stomatitis atau gingivitis di dalam mulut? Amalkan meminum jus lemon untuk mengatasinya.
  • Berkumur dengan jus lemon juga dapat menyingkirkan plak, memutihkan dan menguatkan enamel gigi. Ia juga mengubati jangkitan tekak dan bagus untuk rawatan diphtheria.
  • Kebiasaannya, pati jus lemon digunakan untuk memerap makanan laut atau daging untuk membunuh bakteria dan organisma yang terdapat di dalamnya.
  

25 PANDUAN SIHAT Langsing Di Hari Bahagia!


Diet Sihat
Usai saja tarikh perkahwinan ditetapkan, maka bermulalah segala persiapan. Tidak dilupakan soal kecantikan diri. Sebolehnya, anda ingin kelihatan lebih langsing dan cantik menjelang hari bahagia itu nanti. Salah satu caranya ialah dengan berdiet! Walaupun bukan mudah untuk dilakukan namun kebanyakan wanita rela menahan lapar dan berolahraga berjam-jam. Diet yang baik bukanlah dengan hanya ‘berpuasa’ tetapi juga perlu dilihat kepada tabiat pemakanan berdasarkan umur dan aktiviti.
Berikut beberapa panduan yang dapat membantu diet anda menjadi lebih baik dan sihat.
  1. Mula memilih hidangan yang direbus, dipanggang, di stim atau dibakar. Kurangkan hidangan bergoreng.
  2. Ingatlah, berpuasa bukanlah cara terbaik untuk menurunkan berat badan. Makanlah secukupnya dan kawal kalori secara bijak.
  3. Pilihlah makanan yang dapat meningkatkan tenaga anda antaranya ialah pisang, kacang dan yogurt rendah lemak.
  4. Sentiasa membawa botol berisi air putih ke mana pun anda pergi bagi mengelakkan berlakunya masalah dehidrasi. Juga, mengelakkan anda mengambil minuman bersoda atau bergula secara berlebihan.
  5. Detoks membantu mengeluarkan racun dari dalam tubuh.
  6. Pilihlah salad yang menyihatkan kerana ada kalanya ia dikombinasikan dengan mayonis atau keju yang tinggi kandungan lemaknya.
  7. Carilah teman untuk berdiet bersama. Cara ini dapat membantu anda berdua saling bermotivasi.
  8. Elakkan makanan yang mengandungi lemak lebih dari 10 peratus. Baca label informasi nutrisi terlebih dahulu sebelum membelinya.
  9. Hindari mengunyah makanan di saat-saat anda kebosanan atau tertekan.
  10. Berusaha untuk membuang tabiat buruk yang boleh merosakkan program diet anda.
  11. Belilah sebuah juicer dan mulalah membuat jus anda sendiri. Apa kata anda cuba jus sayuran pula kerana ia kaya vitamin dan lebih sedikit fruktosa.
  12. Snek baik untuk anda bagi mencegah makan tengah hari atau makan malam secara berlebihan.
  13. Tidur yang cukup itu penting! Rasa letih yang berpanjangan akan mempengaruhi anda untuk makan lebih banyak.
  14. Sebelum makan, amalkan makan satu mangkuk kecil salad.
  15. Sebaiknya, cuba bawa bekal makanan sendiri ke tempat kerja kerana ia lebih mudah untuk anda mengawal pengambilan gula dan kalori.
  16. Gigitlah makanan secara perlahan-lahan. Cara ini akan membantu program diet anda dengan lebih baik.
  17. Jika anda teringin untuk makan coklat, pilihlah coklat yang rendah lemak.
  18. Potong buah-buahan kegemaran anda dalam potongan kecil bagi menggantikan snek yang tidak sihat.
  19. Sebaiknya-baiknya elakkan mengambil makananmakanan ringan.
  20. Jika anda gemar makan roti, pilihlah yang bergandum penuh.
  21. Catatlah makanan yang anda ambil selama dua minggu. Percayalah, anda akan terkejut melihat hasilnya!
  22. Pilihlah mentega yang rendah lemak sahaja untuk mengawal kandungan lemak.
  23. Jangan masak sayur-sayuran terlalu lama agar kandungan zatnya tidak terjejas.
  24. Sekali sekala anda mungkin boleh memilih hidangan yang pedas bagi meningkatkan metabolisme tubuh.
  25. Pilihlah sayur-sayuran hijau dan teh hijau demi kesihatan anda.  

Pilihan Sihat Pengganti Nasi

  Pilihan Sihat Pengganti Nasi  

Demi mendapatkan tubuh langsing dan sihat, ramai wanita memilih untuk mengurangkan pengambilan nasi. Malah, ramai juga yang tidak mengambil nasi selama berbulan-bulan. Kekurangan karbohidrat di dalam tubuh sebenarnya memberi kesan yang tidak baik kepada tubuh badan. Tubuh masih memerlukan karbohidrat untuk memberi tenaga kepada kita. Oleh itu, makanan ganti atau substitute diperlukan untuk diet sihat.


Sagu

Sagu merupakan butiran atau tepung yang diperoleh dari batang pohon sagu atau rumbia. Usah risau mengenai kandungan lemak kerana sagu rendah kandungan lemaknya.

Cara sajian:
Sajian sagu yang paling mudah ialah bubur sagu. Biasanya ia dimakan dengan ikan jika di Papua atau Maluku. Umpamanya memakan nasi dengan lauk ayam.


Jagung

Sumber karbohidrat ini juga mengenyangkan dan amat sesuai untuk anda yang mengamalkan cara hidup sihat. Selain itu, jagung juga mengandungi serat dan asid folat yang membantu menjaga pembuluh darah.

Cara sajian:
Jagung boleh direbus begitu sahaja atau dimasukkan di dalam masakan sebagai sayur tambahan. Mungkin aneh untuk menikmati jagung rebus pada waktu pagi sewaktu sarapan tetapi dengan rasanya yang enak, pastinya anda lupa keanehan itu. Anda juga boleh menikmati jagung bakar sebagai alternatif.


Kentang

Selain nasi, kentang adalah pengganti yang paling digemari. Kentang mudah dimasak dengan bahan-bahan lain. Ia mempunyai kalori rendah berbandung tumbuhan ubi lain. Kentang banyak digunakan dalam program penurunan berat badan. 200 gram kentang bersamaan 100 gram nasi.

Cara sajian:
Panggang kentang bersama kulitnya agar khasiat kentang terpelihara. Atau, anda juga boleh merebus kentang dan dimakan bersama sos atau gravy.


Pasta

Sesekali bertukar selera Itali apa salahnya. Pasta diperbuat dari pelbagai campuran bahan seperti tepung, air, telur dan garam. Pelbagai jenis pasta boleh di dapati di pasaran contohnya spageti, makaroni, lasagne dan fettucine.

Cara sajian:
Pasta boleh dimasak dengan pelbagai cara sama ada panggang, rebus atau dijadikan salad. Jika menu masakan anda memerlukan minyak, pilih minyak zaitun dalam kuantiti kecil. Daging rendah lemak boleh digunakan dengan tambahan sayur-sayuran seperti brokoli atau paprika.


Oat

Oat merupakan sejenis bijirin gandum dan kita sering menjumpainya dalam bentuk oatmeal. Biasanya, oat dijadikan sebagai bubur atau menjadi salah satu bahan dalam pembuatan kek. Oat boleh mengurangkan kadar kolesterol dalam tubuh.

Cara sajian:
Mungkin dari semua sumber karbohidrat, inilah yang banyak tersedia dalam bentuk segera atau instant. Hanya campurkan air panas dan oat sudah tersedia untuk dihidangkan. Campurkan buah strawberi, beri hitam atau kiwi untuk menambah selera.



Obesiti Virus Segala Penyakit Kronik

Obesiti Virus Segala Penyakit Kronik  

Seorang wanita akan sentiasa mengalami perubahan hormon dalam badan mereka. Dua hormon yang penting bagi wanita ialah hormon estrogen dan progesteron. Fungsi hormon estrogen ialah mengekalkan sifat kewanitaan seorang wanita, kesihatan jantung, tulang, memori otak, kesuburan dan keanjalan kulit.

Fungsi hormon progesteron pula ialah mengekalkan ciri kewanitaan, kesuburan, ketenangan emosi, kesihatan tulang, antikanser dan menstabilkan air dalam badan. Perubahan hormon berlaku setiap kali berlakunya kitaran haid,  mengandung, selepas bersalin serta menopaus. Kaedah perancangan keluarga yang berasaskan hormon juga menyebabkan hormon tidak stabil di dalam badan.  Perubahan hormon ini menyebabkan seorang wanita itu kerap mengalami masalah mengawal berat badan.


OBESITI

Menurut Pakar Perubatan, Dr. Nurhalina Azly Minhat, obesiti ialah keadaan apabila berat melebihi BMI 30 (Indeks Jisim Tubuh) (Formula Kiraan: BMI = berat (kg)/tinggi(m) x tinggi(m). Jika seorang ibu mempunyai BMI melebihi 30, risiko untuk mendapat penyakit kronik akanmeningkat. Antara penyakit-penyakit kroniknya ialah serangan jantung, angin ahmar, tekanan darah tinggi, sakit lutut dan sendi, penyakit gout, kolesterol tinggi, kerosakan hati serta penyakit metabolik seperti kencing manis.

Apabila berat bertambah, lemak di dalam badan terkumpul bukan sahaja di bawah kulit namun di bahagian luar organ seperti jantung dan usus yang dikenali sebagai lemak visceral. Lemak visceral menyebabkan risiko serangan jantung. Paras kolesterol yang tinggi di dalam darah boleh menyebabkan saluran darah ke jantung dan otak tersumbat yang akhirnya menyebabkan serangan jantung dan angin ahmar.

Lemak yang berlebihan juga boleh menyebabkan kerosakan hati (fatty liver) di mana hati dipenuhi dengan lemak dan liver cirrhosis iaitu hati yang keras dan tidak berfungsi. Hati merupakan organ kumuh bagi lemak. Apabila berat semakin bertambah, sendi-sendi utama seperti lutut tidak dapat menampung berat dan mula mengalami sakit lutut. Obesiti yang berpunca daripada pemakanan yang tidak seimbang dan tiada senaman menyebabkan hormon endokrin yang tidak stabil.

Selepas makan makanan berkarbohidrat tinggi, paras gula meningkat secara mendadak. Organ pankreas akan mengeluarkan hormon insulin dengan banyak untuk mengawal gula dalam darah. Hormon insulin berfungsi memindahkan gula yang beredar di dalam darah ke dalam sel. Namun demikian, jika paras insulin sentiasa tinggi, badan akan mengalami insulin resistance iaitu suatu keadaan di mana insulin tidak dapat berfungsi dengan baik untuk menyimpan gula  seterusnya meningkatkan paras gula dalam darah dikenali sebagai diabetes atau penyakit kencing manis.


CARA CEGAH OBESITI
  • Elakkan makan berlebihan serta mengambil makanan bergula dan berkanji seperti nasi putih, roti, tepung dan mi. Pilihlah beras basmati, beras perang dan roti serat tinggi. Lebihkan protein seperti dada ayam, daging tanpa lemak dan ikan. Lebihkan sayuran dan buah-buahan seperti epal, oren, jambu batu, limau bali dan beri. Pilih makanan yang mengandungi indeks glisemik rendah.
     
  • Hadkan jumlah makanan di atas pinggan. Hadkan nasi sebesar genggaman bagi setiap hidangan. Hadkan protein sebesar tapak tangan bagi setiap hidangan. Selebihnya, penuhkan pinggan dengan sayur-sayuran.
     
  • Kurangkan penggunaan minyak sewaktu memasak. Gunakan kaedah stim, bakar atau rebus sewaktu memasak.
     
  • Tukarkanlah gula kepada stevia iaitu sejenis daun yang rasanya manis.
     
  • Bersenamlah selang sehari, lebih kurang 10-30 minit.
     
  • Berpuasa dua kali seminggu membantu mengekalkan berat badan dan merehatkan usus seketika.
     
  • Rehat yang cukup. Ibu yang bekerja perlu mendapatkan rehat dan tidur secukupnya. Tidur yang terganggu juga akan menyebabkan ketidakstabilan hormon dan obesiti.
     
  • Jika anda mengalami masalah obesiti, berjumpalah doktor bagi mendapatkan rawatan. Rawatan HCG jika digabungkan dengan pemakanan berkalori rendah dapat menurunkan berat badan. Namun, rawatan ini memerlukan pemantauan  doktor. Rawatan HCG bukan sahaja dapat mengurangkan lemak visceral, malah dapat menstabilkan hormon dari kelenjar pituitari.
     
  • Rawatan laser membantu mengeluarkan lemak dari sel lemak tanpa mematikan sel lemak tersebut. Pemilihan rawatan laser yang betul seperti kaedah ‘Zerona’ amat penting kerana kaedah lain seperti sedut lemak boleh menjadikan pengimbangan hormon menjadi huru-hara dan lemak berkumpul di tempat yang tidak diingini.  

 

Kacang Tanah Kurangkan Risiko Penyakit Jantung

Kacang Tanah Kurangkan Risiko Penyakit Jantung
Kacang tanah atau Arachis hypogea merupakan sejenis spesies kekacang dari keluarga Fabaceae yang berasal dari Amerika Selatan. Kacang tanah merupakan sejenis tumbuhan tropika yang tumbuh secara renek setinggi 30–50 cm.
BINA DAYA KETAHANAN
Kacang tanah kaya dengan kandungan lemak di samping protein, zat besi, vitamin E dan kalsium, vitamin B kompleks dan fosforus, vitamin A dan K, lesitin, kolin serta kalsium. Kandungan protein di dalam kacang tanah adalah jauh lebih tinggi berbanding daging, telur dan kacang soya. Selain itu, kacang tanah juga mempunyai rasa manis dan sesuai digunakan dalam penghasilan kuih-muih.
Kacang tanah juga dikatakan mengandungi bahan yang boleh membina daya ketahanan tubuh dalam mencegah beberapa jenis penyakit. Mengambil sebanyak satu auns kacang tanah dalam lima kali seminggu dipercayai dapat mencegah penyakit jantung. Kacang tanah membantu meningkatkan kemampuan jantung serta menurunkan risiko penyakit koroner.
Kacang tanah mengandungi Omega 3 dan Omega 9. Dalam satu auns kacang tanah terdapat kira-kira 18g Omega 3 dan 17g Omega 9. Kacang tanah turut mengandungi fitosenol yang dapat membantu menurunkan kadar kolesterol serta kadar trigliserida iaitu dengan cara menghalang penyerapan kolesterol daripada makanan yang dialirkan di dalam darah serta mengurangkan penyerapan kembali kolesterol dari hati di samping mengawal HDL kolesterol. Kacang tanah juga mengandungi arginin yang dapat merangsang tubuh untuk menghasilkan nitrogen monoksida yang berfungsi untuk melawan bakteria tuberkulosis.
BUKAN PUNCA JERAWAT
Kajian turut menunjukkan bahawa kacang tanah juga dapat menjadi penurun tekanan darah tinggi dan kandungan kolesterol dalam darah. Ia berkesan untuk melegakan penyakit hemofilia atau kecenderungan mudah berdarah, penyakit keputihan dan insomnia. Namun begitu, bagi mereka yang menghidapi kanser payudara serta mempunyai masalah kulit berjerawat atau akne dinasihatkan agar berhenti makan kacang tanah.
Ramai yang beranggapan bahawa kacang tanah adalah punca kepada masalah jerawat. Namun begitu, sebuah kajian oleh American Academy of Dermatology menyatakan bahawa kacang tanah bukanlah puncanya.
Di samping itu, kacang tanah turut membantu menghalang radikal bebas, menurunkan tekanan darah dan kolesterol darah serta menghindari tubuh daripada serangan jantung. Selain itu, kacang tanah turut mengandungi asid amino yang tinggi. Minyak dari kacang tanah adalah sumber terbaik untuk mencuci bahagian perut. Selain itu, untuk menambahkan kandungan susu badan untuk para ibu yang menyusukan bayinya, mereka digalakkan untuk mengambil kacang tanah yang dipanggang bersama susu kambing.
Kacang tanah juga dipercayai mengandungi bahan-bahan semula jadi yang dapat membina daya ketahanan tubuh untuk menentang penyakit batuk kering. Tahukah anda bahawa kacang tanah juga bermanfaat dalam program diet. Ini kerana kacang tanah tergolong dalam kategori makanan untuk diet. Kacang tanah sesuai dijadikan sebagai makanan kesihatan untuk mereka yang sentiasa melengkapi hidangan harian dengan makanan sumber lemak.
Mereka yang makan kacang tanah satu hingga empat kali seminggu dapat mengurangkan sekurang-kurangnya 25 peratus risiko penyakit jantung koronori jika dibandingkan mereka yang hanya sekali atau kurang memakannya. Kandungan niasnin yang tinggi iaitu 13mg dalam setiap 100g bahan makanan. Selain berfungsi sebagai enzim, niasin turut membantu menurunkan kadar kolesterol darah. Namun begitu, anda diingatkan bahawa kacang tanah bahaya untuk mereka yang alergi dengannya.


Cegah Bibir Kering dan Pecah

 Cegah bibir kering  

Bibir merupakan sebahagian daripada keindahan wajah yang mengulit perhatian. Bibir yang menarik dan sihat akan menjadi cermin kepada kecantikan anda. Anda perlu tahu bahawa kesihatan bibir juga haruslah selalu dijaga. Masalah yang umumnya terjadi kepada bibir adalah kekeringan serta pecah-pecah.
Bibir yang pecah biasanya akan mudah terluka serta menimbulkan rasa sakit. Apabila keadaan ini tidak dirawat boleh menyebabkan jangkitan kepada bibir. Ketika bibir pecah, biasanya lipstik yang dipakai tidak dapat melekat dengan baik sehingga merencatkan penampilan. Oleh itu, cuba kita lihat apakah punca sebenar kepada masalah bibir kering dan pecahpecah ini. Serta, bagaimana untuk mencegahnya daripada berlaku.
PUNCA-PUNCA
  • Pencemaran udara serta debu.
  • Perubahan suhu yang boleh menyebabkan bibir tidak dapat beradaptasi sehingga bibir menjadi kering serta pecah-pecah.
  • Makanan yang terlalu masam atau masin.
  • Tabiat merokok, minum kopi berlebihan serta minum alkohol.
  • Kurang pengambilan buah-buahan serta sayur-sayuran.
  • Kurangnya minum air.
  • Menggunakan kosmetik yang bahan-bahan kimianya terlalu kuat atau disebabkan oleh alergi terhadap kosmetik tertentu.
  • Menggunakan ubat gigi yang mengandungi detergen berlebihan.
  • Tabiat suka menjilat bibir dengan air liur.
TIP PENCEGAHAN
Setelah mengetahui punca-punca terjadinya masalah bibir kering serta pecah-pecah ini, anda hendaklah melakukan langkah-langkah pencegahan supaya masalah tersebut membuatkan anda kurang percaya diri. Berikut adalah beberapa cara yang boleh anda jadikan sebagai panduan berguna:
  • Gunakan balm bibir yang mengandungi tabir suria serta pelembap. Sinaran matahari merupakan salah satu faktor penyebab kepada masalah bibir kering dan pecah-pecah. Oleh itu, penggunaan krim tabir suria adalah sangat penting. Begitu juga dengan pelembap yang diperlukan supaya kelembapan bibir anda kekal terpelihara terutamanya ketika melakukan aktiviti seharian.
  • Pilihlah gincu yang sesuai serta mengandungi pelembap. Sewaktu anda membeli produk-produk kecantikan contohnya gincu, perhatikan kepada kandungannya. Pilihlah gincu yang mengandungi emolien serta mengandungi bahanbahan semula jadi serta berpelembap.
  • Sentiasalah membasahkan bibir anda dengan air putih. Bukan dengan menjilatnya dengan lidah kerana di dalam air liur terdapat kelenjar dan enzim yang boleh menyebabkan bibir anda kering serta pecah-pecah. Cukuplah sekadar meminum air putih atau segelas air putih untuk membasahi bibir.
  • Minum air putih lapan gelas setiap hari. Langkah ini dapat membantu mencegah berlakunya dehidrasi yang boleh mengakibatkan bibir kering dan pecah-pecah.
  • Segera bersihkan sisa lipstik sebelum tidur. Gunakan skrub bibir dengan gerakan memutar selama beberapa minit. Kemudian bersihkan bibir dengan tuala lembut yang dibasahkan terlebih dahulu dengan air suam.
  • Ambil banyak buah-buahan dan sayur-sayuran. Pilihlah sayur-sayuran dan buah yang mengandungi vitamin C, B, E dan mineral. Kadar air yang terdapat pada bibir juga membantu tubuh terhindar dari dehidrasi.
  • Jauhi tabiat merokok dan minum alkohol. Bahan kimia yang terkandung di dalam sebatang rokok boleh menyebabkan lebam kehitaman pada bibir. Manakala alkohol menyebabkan bibir mudah kering.
  • Sapu pelembap bibir pada waktu malam sebelum tidur. Selain itu, anda juga boleh menggunakan madu sebagai pelembap semula jadi seterusnya memberikan khasiat kepada bibir.
  • Lakukan urutan bibir dengan menggunakan minyak zaitun. Urutan akan membantu melancarkan sistem peredaran darah pada bibir seterusnya bibir menjadi sihat. Sapu minyak zaitun pada bibir sewaktu urutan.
PETUA TRADISIONAL
  • Anda juga boleh mencuba beberapa petua tradisional untuk mendapatkan bibir yang kelihatan berseri serta kemerah-merahan. Antara petua yang boleh anda amalkan ialah:
  • Sapukan dua titik madu lebah asli pada bibir setiap malam sebelum tidur dan lakukan setiap hari.
  • Sapukan getah pokok sena yang berwarna merah pada bibir yang pecah. Dalam masa dua hari luka akan sembuh.
  • Sapukan pati susu pada bibir setiap hari. Bibir akan kelihatan lembut dan kemerahmerahan.
  • Bersihkan sepotong halia segar, kupas kulitnya kemudian tumbuk hingga lumat dan perah airnya. Gosokkan hampas halia tersebut pada bibir untuk bibir yang lebih menawan dan kemerah-merahan.

No comments:

Post a Comment