nuffnang

LIKE ME

Wednesday 4 July 2012

Cahaya Rohani

Huraian al-Fatihah


Pernahkah kita, setelah membuat perancangan untuk bersukan di waktu petang, merungut kerana hujan lebat yang tiba-tiba turun? Pernahkah kita seolah-olah marah kerana cuaca yang amat panas atau amat sejuk? Pernahkah kita merasa tidak puas hati dengan wajah yang dirasakan tidak cukup cantik dan bentuk badan yang tidak seperti diharapkan?


Apabila kita merungut, marah atau merasa tidak puas hati, adakah kita menujukannya kepada hujan, cuaca dan badan sendiri atau kepada Yang menurunkan hujan, menukar cuaca dan mencipta rekabentuk kita?

Saya bagi contoh lain. Apabila makan mee goreng di restoran dan kita merungut rasanya tak sedap, adakah ia salah mee atau salah tukang masak yang menggoreng mee tersebut? Tentulah tukang masak. Demikianlah juga, apabila kita merungut, marah, merasa tidak puas hati dan sebagainya kepada pelbagai urusan alam ini, termasuk diri kita sendiri, kita sebenarnya merungut, marah dan tidak puas hati kepada Allah.

Di sinilah letak kepentingan untuk memahami surah al-Fatihah yang lazim kita baca kerana dalam surah tersebut, kita sebenarnya memuji-muji Allah melalui ayat Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin yang bererti “Segala puji bagi Allah, Tuhan untuk mencipta, mengurus dan mengetahui segalanya berkenaan alam ini”.

Allah, Tuhan Alam Ini.

Sebagai umat Islam, kita tidak sekadar beriman bahawa Allah adalah Rabb alam ini, tetapi kita memuji Allah atas kesempurnaan dan keindahan Allah sebagai Rabb bagi alam ini. Rabb dari sudut bahasa bererti tuhan sementara dari sudut aqidah bererti tuhan yang mencipta, mengurus dan mengetahui segalanya berkenaan alam ini. Memandangkan kita juga hidup di dalam alam ini, maka kita juga termasuk penciptaan, pengurusan dan pengetahuan Allah.

Justeru melalui surah al-Fatihah, kita sebenarnya memuji-muji Allah sebagai Rabb alam ini. Kita memuji Allah atas penciptaan alam yang indah lagi menakjubkan ini. Kita memuji Allah atas peredaran matahari dan planet-planet, pertukaran siang dan malam serta cuaca yang berbeza beza.

Kita juga memuji Allah atas segala kurniaan Allah kepada kita merangkumi kehidupan, kesihatan, ilmu, kemampuan bergerak dan pelbagai lagi nikmat yang tidak dapat disenaraikan dalam penulisan ini.

Keimanan dan pujian kita kepada Allah sebagai Rabb alam ini menjadikan kita hanya berharap dan berdoa kepada Allah apabila menghadapi sesuatu kesulitan, dan memanjatkan kesyukuran atas apa-apa kebaikan. Ini kerana hanya Allah sebagai Rabb alam ini yang dapat mengabulkan doa dan membantu kita. Hanya Allah sebagai Rabb alam ini yang layak kita katakan “Terima kasih” yang sebenar-benarnya.

Akan tetapi

Di sini mungkin ada yang tertanya, kenapakah berlaku beberapa fenomena “tidak sempurna” dalam alam yang diurus oleh Allah, seperti gempa bumi, angin ribut, tanah runtuh dan lainlain tragedi alam? Jawapannya, semua fenomena tersebut masih termasuk dalam kesempurnaan pengurusan Allah. Allah menjadikan fenomena tersebut sebagai ujian kepada manusia, sebagaimana firman-Nya:

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh)… [al-Baqarah 2:214]

No comments:

Post a Comment