nuffnang

LIKE ME

Friday 22 June 2012

Budaya lelaki lembut di TV, radio semakin tidak terkawal

ADA banyak stesen radio untuk dipilih sekarang, semuanya percuma. Begitu juga dengan stesen televisyen, sama ada yang berbayar atau dapat ditonton secara percuma. Dalam siaran televisyen itu pula ada bermacam-macam program, untuk segenap lapisan masyarakat. Kadang-kadang kita secara tidak sengaja menukar stesen televisyen kerana adakalanya telatah penyampai dengan lawak mereka agak menjengkelkan.

Kali ini kita akan bercakap mengenai kandungan rancangan radio dan televisyen yang bermacam-macam itu. Niat menulis mengenai kandungan televisyen ini timbul beberapa hari lalu apabila secara tidak sengaja menekan butang alat kawalan jauh televisyen dan melihat program Melayu melalui stesen berbayar. Penulis lupa nama rancangan berkenaan menayangkan episod membabitkan empat selebriti Melayu – dua perempuan dan dua lelaki tetapi karektor mereka (rasanya bukan lakonan tetapi tulen) lebih mirip kepada perempuan. Pakaian dua selebriti perempuan itu adalah pakaian biasa yang sesuai dengan fitrah mereka sebagai perempuan, manakala pakaian dua selebriti lelaki itu sungguh luar biasa. Keempat-empat mereka bercakap dengan santai mengenai mereka pernah bermasam muka antara satu sama lain kerana salah seorang daripada mereka itu menjadi batu api.
Selepas melihat telatah mereka, saya teringat pada sebuah siri televisyen tidak lama dulu, lakonan Imuda yang menjadi pemuda lembut dengan dialog ikonik – “This is my card. My name is Sam, S-U-E Sam.” Watak Imuda pernah menjadi cemuhan ramai, tetapi setidak-tidaknya selepas penampilan dalam siri itu, Imuda kembali kepada fitrah asalnya sebagai lelaki.
Hal ini tidak berlaku kepada dua selebriti lelaki yang keluar dalam program tadi. Penampilan dan karektor mereka selepas menjadi lelaki lembut tetap sama kerana begitulah fitrah sebenar mereka. Dalam episod yang kebetulan penulis tonton itu, perbualan mereka sangat luar biasa menggunakan istilah dan tonasi yang sering dibawakan oleh lelaki lembut. Maki hamun gaya mereka diucapkan sebebas-bebasnya. Penampilan dan dialog mereka seolah-olah tidak terkawal langsung. Pernah juga seorang teman meminta saya melihat sebuah program game show yang pengacaranya adalah lelaki tetapi dialog lelaki lembut digunakan sebebas-bebasnya. Seperti lazimnya bagi lelaki jenis itu, mereka memanggil sesama sendiri dengan gelaran ‘akak’ dan semua ini disiarkan secara bebas melalui stesen televisyen utama.

Tidak cukup dengan program televisyen yang mengetengahkan watak lelaki lembut, banyak lagi stesen radio menyediakan segmen khas penampilan lelaki lembut itu. Lalu disediakan segmen bersenam bersama lelaki lembut, penyampai radio (lelaki) menjadi mak cik bergosip mengenai apa saja dan lelaki lembut menjadi tukang masak membacakan resipi masakan. Segmen disiarkan tidak kira sama ada waktu pagi atau petang. Sudah pasti segmen sedemikian (dan program televisyen tadi) adalah untuk hiburan. Setuju tetapi siaran yang berulang-berulang, bukan setakat setiap hari tetapi banyak kali dalam sehari, lambat laun akan menjadikan budaya itu sebagai budaya arus perdana. Cuba program lawak jenaka oleh pelawak kita, tak kira sama ada pelawak lama atau baru pasti berlaku penampilan watak lelaki lembut dan ramai-ramailah kita ketawa.

Mahu tidak mahu kita terpaksa menerima hakikat bahawa memang wujud lelaki yang fitrah mereka berbeza dari fitrah daripada fitrah sebenar lelaki. Persoalannya kenapa ciri-ciri sub-budaya ini diberikan tempat sama seperti budaya perdana dan disebarkan seluas-luasnya. Begitu juga, adakah penampilan watak lelaki lembut dan lelaki yang benar-benar lembut dalam program televisyen dan radio itu bertujuan memperlekehkan dan mempersendakan mereka? Rasanya tidak. Jadi bagaimana kita?

Ini zaman baru, apatah lagi dengan perkembangan media baru melalui teknologi maklumat yang membebaskan penyebaran maklumat dan muat naik hiburan seluas-luasnya. Ini juga bukan lagi zaman pemerintah menyekat kebebasan televisyen dan radio. Namun di banyak tempat yang campur tangan pemerintah dalam hal-hal sebegini, kumpulan pelobi mempunyai suara dan kadang kala kuasa yang sama hebat dengan campur tangan kerajaan.
Berbalik kepada program televisyen dan radio yang mengetengahkan dan mempopularkan sub-budaya lelaki lembut itu, adakah kita mahu biarkan ia ditampilkan bebas begitu hingga duduk seiring dengan budaya perdana? Mungkin jugakah penulis sudah semakin hilang sense of humour?

Penulis ialah pensyarah Fakulti Pengajian Media dan Komunikasi UITM Melaka

No comments:

Post a Comment