nuffnang

LIKE ME

Thursday 21 June 2012

Teknologi vs sakit jantung

 Teknologi vs sakit jantung

 FotoPercutaneous Coronary Intervention (PCI) jadi teknik terbaru rawat masalah kardiovaskular serius tanpa bedah

DI Malaysia, penyakit kardiovaskular adalah penyebab utama kematian. Mengikut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia pada 2000 hingga 2005, dianggarkan 20 hingga 25 peratus kematian di hospital kerajaan adalah disebabkan penyakit yang disebabkan gaya hidup ini.
Penyakit jantung koronari yang juga dikenali sebagai penyakit arteri koronari adalah spektrum daripada penyakit angina stabil; angina tak stabil; non-ST segment elevation myocardial infarction (NSTEMI) dan ST elevation myocardial infarction (STEMI).
Pembuluh darah ini berfungsi membekalkan otot-otot jantung dengan oksigen dan zat makanan. Seseorang boleh mendapat penyakit jantung koronari apabila satu atau lebih pembuluh darah ini menjadi sempit. Ini berlaku kerana pemendapan kolesterol dan pembentukan plak yang merangkumi kolesterol dan parut-parut tisu. Sel-sel yang meliputi kolesterol pada dinding pembuluh darah ini menjejaskan aliran darah ke jantung.

Perunding Kanan Perubatan dan Kardiologi Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Wan Azman Wan Ahmad, menjelaskan Acute Coronary Syndrome (ACS ) atau sindrom koronari akut merujuk kepada sebarang kumpulan gejala yang disebabkan oleh penyempitan atau sekatan pada arteri koronari. ACS biasanya terjadi akibat satu daripada tiga masalah iaitu ST elevation myocardial infarction, non ST elevation myocardial infarction atau unstable angina.

“Kemasukan ke hospital untuk penyakit berkaitan ACS di Unit Jagaan Kardiak (CCU) di Malaysia dianggarkan 47 daripada 100,000 kes. Malah setengah lagi tidak dapat masuk ke CCU kerana tidak semua hospital ada kemudahan.

“Jadi secara kasarnya, pesakit yang menderita masalah ini sebenarnya mencecah 100 daripada 100,000 kes. Selain itu, dianggarkan pada 2006, sejumlah 30,000 pesakit yang mengalami ACS dimasukkan ke hospital kerajaan.
“Apa yang menakutkan ialah jika lima pesakit dimasukkan ke hospital kerajaan kerana serangan sakit jantung, seorang akan meninggal dunia. Ini menunjukkan kadar mortaliti adalah sangat tinggi,” katanya kepada Sihat.

Kebanyakan pesakit di Malaysia ada banyak faktor risiko di mana jumlah penghidap hipertensi sangat tinggi. Mengikut rekod, dianggarkan 42 peratus (empat daripada 10 orang) pesakit dewasa berusia lebih 30 tahun mengalami tekanan darah tinggi mengikut Kajian Morbiditi dan Mortaliti Kebangsaan 2006. Selain itu paras kolesterol yang tinggi, diabetes, kegemukan, merokok, kurang melakukan senaman, faktor jantina dan proses penuaan adalah antara faktor penyumbang kepada penyakit ini.

Ada tiga jenis rawatan bagi mereka yang mengalami penyakit koronari. Pertama, rawatan melalui ubat-ubatan. Kedua, rawatan melalui pembedahan (pembedahan pintasan saluran darah) dan ketiga, rawatan melalui angioplasti (percutaneous coronary intervension). Rawatan ubat-ubatan bertujuan menghilangkan sakit, memanjangkan hayat dan supaya pesakit mendapat kualiti hidup lebih baik.

Prof Wan Azman yang juga Ketua Divisyen Kardiologi Fakulti Perubatan UM berkata, bagi pesakit jantung koronari jika rawatan ubat-ubatan tidak memadai, percutaneous coronary intervension (PCI) atau lebih dikenali sebagai angioplasti dan pembedahan pintasan saluran darah akan dipertimbangkan bagi memperbaiki penyempitan arteri koronari.

Menurutnya, ini memastikan pengaliran darah normal bagi membekalkan nutrien secukupnya dan mencegah kemerosotan otot kardiak.

Prof Wan Azman berkata, rawatan PCI lebih popular kerana tidak membabitkan pembedahan yang besar. Bagaimanapun ia bergantung kepada kedudukan dan tahap penyempitan atau sekatan pada pembuluh darah pesakit selain keadaan fizikal. Doktor akan menilai risiko bagi setiap pesakit dan mencadangkan terapi atau rawatan terbaik. Biasanya jika 70 peratus atau ke atas arteri koronari tersekat, PCI akan disarankan kepada pesakit. PCI adalah sejenis rawatan pengembangan arteri koronari yang sempit atau tersekat tanpa perlu pembedahan.

Beliau berkata, melalui kaedah ini, kateter akan dimasukkan melalui saluran darah pangkal paha atau saluran darah di lengan. Melalui kateter, satu dawai halus dimasukkan ke bahagian pembuluh darah yang tersumbat. Pada hujung kateter ini, ada belon. Belon akan dikembangkan untuk menolak plak yang menyumbat pembuluh darah. Bagaimanapun, 30 peratus pesakit boleh mengalami penyempitan pembuluh darah semula. Bagi menangani masalah ini, besi gegelung (stent) yang dilapisi ubat-ubatan diperkenalkan.

Ada tiga jenis besi gegelung (stent) yang digunakan dalam prosedur PCI di Malaysia iaitu Bare Metal Stent (BMS), Drug-Eluting Stent (DES) dan Bio-Engineered Stent. Mempunyai kelebihan dan kelemahan yang tersendiri, jenis gegelung besi ini memberikan pilihan dari segi rawatan mengikut keadaan fizikal pesakit.

Walaupun DES dianggap sebagai standard semasa bagi penjagaan pesakit penyakit arteri koronari dan dalam mengurangkan risiko penyempitan semula arteri, namun ia masih boleh melengahkan proses penyembuhan. Kehadiran Combo Dual Therapy Stent sebagai pilihan rawatan terkini menjanjikan kombinasi teknologi penyembuhan dalam masa sama gegelung yang diselaputi sejenis ubat di permukaannya.


Masuk wad sehari

TEKNOLOGI stent atau gegelung logam dalam rawatan Angioplasti atau percutaneous coronary intervention (PCI) membabitkan penyempitan arteri koronari mampu menangani masalah penyempitan semula pembuluh darah (restenosis).

Menurut Prof Wan Azman, berikutan sifat rawatan ini yang tidak membabitkan pembedahan besar, pesakit yang dijadual melalui PCI hanya perlu tinggal sehari atau sekadar berehat di pusat jagaan harian hospital selepas prosedur selesai.

Sejak diperkenalkan di Malaysia pada 1983, PCI digunakan secara meluas dan dimanfaatkan seiring dengan permintaan dan perkembangan teknologi perubatan semasa. Pakar perubatan akan menyarankan pilihan terbaik berdasarkan profil dan keadaan fizikal pesakit. Ada tiga jenis gegelung digunakan di Malaysia iaitu Bare Metal Stent (BMS), Drug Eluting Stent (DES) dan Bio-Engineered Stent (BES).

Bare Metal Stent (BMS) adalah gegelung besi tidak bersalut yang mengembangkan arteri sempit secara serta merta selepas dimasukkan. Ia membolehkan aliran darah kembali seperti sedia kala. Agak ekonomikal dari segi kos, lazimnya pakar perubatan menyarankan preskripsi ubat antiplatelet seperti clopidrogel selama sebulan selepas pembedahan dan aspirin untuk jangka waktu yang lebih lama.

Bagaimanapun, kerana dinding dalam pembuluh mungkin terjejas akibat trauma ketika intervensi koronari, penyempitan semula pembuluh mungkin berlaku.

BMS masih lagi digunakan secara meluas di seluruh dunia. Jenis sekatan adalah pendek dengan diameter pembuluh darah besar (tiga milimeter dan ke atas). Dari segi kos juga, BMS adalah lebih murah daripada DES dan BES. Dalam pada itu, pesakit hanya memerlukan sebulan rawatan ubatan jenis dual antiplatelet therapy (DAPT).

Drug Eluting Stent (DES) adalah gegelung logam disalut ubat pada permukaannya bagi melepaskan kesan ubatan berkenaan ke dinding pembuluh darah sedikit demi sedikit. Ia secara tidak langsung mengurangkan risiko berlakunya penyempitan semula pembuluh darah. Kelebihan gegelung logam ini adalah ia mengurangkan risiko penyempitan semula pembuluh darah secara berkesan.

Bagaimanapun, kelemahan gegelung logam ini adalah ia melengahkan penyembuhan pembuluh darah menyebabkan risiko terbentuknya darah beku meningkat. Pesakit perlu mengikut arahan doktor secara ketat terutama pengambilan DAPT selama tidak lebih daripada 12 bulan.

DES biasanya disarankan pakar perubatan kepada pesakit yang mengalami diabetes. Gegelung jenis ini juga sesuai untuk sekatan yang panjang, kecil dan kompleks. Dari segi jangka panjang pula, penyempitan semula agak rendah. Selain itu pesakit perlu mengambil DAPT selama setahun.

Bio-Engineered Stent (BES) terikat dengan antibodi di permukaan gegelung logam. Ini menarik sel endothelial progenitor dalam peredaran darah, mempercepatkan penyembuhan secara semula jadi di permukaan gegelung bagi membentuk endothelium baru selain mengurangkan insiden darah beku dan penyempitan semula pembuluh darah.

Gegelung jenis ini baik dari segi mempercepat penyembuhan secara semula jadi pembuluh darah dan mengurangkan risiko darah beku atau thrombosis secara berkesan. Biasanya pakar akan menyarankan pengambilan DAPT selama hanya sebulan kepada pesakit.

Satu-satunya kebimbangan jenis gegelung ini ialah risiko berlakunya penyempitan semula pembuluh darah dalam masa setahun selepas memasukkan gegelung adalah lebih tinggi berbanding DES.

Profil pesakit yang biasanya disarankan menggunakan gegelung BES ialah mereka yang mengalami Myocardial Infarction akut akibat kehadiran darah beku.

Pesakit juga dijadual untuk menjalani pembedahan selepas PCI. Selain itu, pesakit juga didapati mengalami alahan terhadap Aspirin dan Plavix. Malah mereka yang berisiko mengalami pendarahan juga disarankan jenis gegelung ini selain pesakit yang tidak begitu serasi dengan rawatan jenis ubat-ubatan.

No comments:

Post a Comment