nuffnang

LIKE ME

Thursday 21 June 2012

Sayang biar berpada

 Sayang biar berpada

 Ibu bapa usah terlalu ikut kata anak yang makin bijak seiring kecanggihan teknologi

DULU tengok orang macam tengok hantu, mulut mencebik hendak menangis, tangan tak lepas ‘berbelit’ di kaki bapa atau ibu, takut kena sakat.
Boleh dikatakan susah berenggang dengan emak atau bapa.
Itu dulu ketika Mimi berusia tiga tahun dan ditinggalkan bersama ibu saudara ketika emak keluar bekerja.

Mimi hanya serasi dengan ibu saudaranya yang menjaganya sejak lahir. Apabila bertemu dengan orang lain yang tidak biasa, Mimi bersikap pasif, tidak mahu didekati dan merengek apabila ada yang cuba mendekatinya.

Tahun ini usia Mimi sudah masuk empat tahun.

Ketika terserempak dengan Mimi minggu lalu, banyak perubahan berlaku pada dirinya.
Dia makin lincah dan tak payah disuruh lagi untuk bersalam atau menyambut salam, paling bagusnya tiada lagi muka mencebik mahu menangis.

Apabila ditanya formula apa digunakan emaknya untuk merubah perwatakan Mimi, emaknya yang dikenali sebagai Tie bersedia berkongsi pengalaman mendidik anak kelimanya itu.

“Sebagai wanita bekerja, saya memang sedih melihat Mimi terlepas bebas bermain di kawasan rumah. Saya tahu kesulitan adik saya untuk memberikan tumpuan kepada Mimi kerana dia juga mempunyai anak sendiri.

“Setiap kali balik dari kerja, saya lihat Mimi bermain pasir di halaman rumah. Biasalah budak kampung, bila berkumpul bersama rakan sepermainan, mereka main masak-masak.

“Keadaannya memang comot dan kulit hitam dibakar mentari. Memang sedih melihat keadaan anak yang agak tidak terjaga, tetapi sebagai ibu bekerja, saya kena berkorban untuk memastikan kami sekeluarga hidup selesa,” katanya.

Menurut Tie, pada tahun ini dia mengambil keputusan menghantar Mimi ke sebuah pusat jagaan yang memberi ruang anak berusia empat tahun mengikut kelas tadika.

Suasananya seperti sebuah tadika yang bukan saja menjaga budak kecil, tetapi juga mendidik mereka mengenal huruf-huruf mudah.

“Sejak dihantar ke pusat ini, saya lihat Mimi lebih berkeyakinan untuk berdepan dengan orang luar.

“Rutin harian Mimi bermula jam 6 pagi. Saya terpaksa mengejutkannya awal pagi untuk bersiap ke pusat jagaan itu.

“Pada mulanya dia agak liat untuk bangun. Ketika dihantar ke pusat jagaan itu, pekerja di situ yang sudah memahami kerenah si kecil sudah bersedia menunggu di depan pintu.

“Mereka terus memaut anak sejurus dihulur, memeluknya dan membawa masuk ke dalam kelas. Selepas itu urusan seterusnya dilakukan oleh penjaga untuk memujuk anak menyuai diri dengan keadaan.

“Mimi memang budak cerdik, dia pun pandai memberi syarat kepada kami, jika mahu dia terus ditempatkan di pusat itu.

“Antara syaratnya ialah meminta suami mengambil dia dari pusat jagaan pada jam 1 tengah hari. Pada masa itu dia tahu kakaknya sudah habis sekolah dan boleh menemaninya, sementara menunggu saya pulang,”.

Menurut Tie, dia mengeluarkan RM500 untuk mendaftarkan Mimi di pusat jagaan itu. Bayaran itu termasuk menyediakan pakaian seragam, peralatan sekolah dan penyediaan makanan.

“Setiap bulan pusat jagaan itu hanya mengenakan bayaran RM130. Bayaran itu memang setimpal dengan perkhidmatan yang diberikan dari jam 7 pagi hingga jam 3 petang,” kata Tie.

Sebagai ibu, dia gembira melihat perkembangan anak selepas ditempatkan di pusat jagaan itu. Mimi sudah boleh mengenal huruf dan dia makin mesra dengan orang sekeliling.

Tie juga lebih tenang bekerja kerana tahu anaknya di tempatkan di kawasan selamat.

“Sebelum ini walaupun dijaga adik sendiri, anak bebas bergerak dan bermain di sekitar rumah dan kebebasan ini membuat Tie risau kerana macam-macam boleh berlaku sekarang.

“Kehilangan budak ketika bermain di sekitar rumah bukan mustahil jika tiada pemantauan yang rapi,” katanya.
Pendidikan seawal usia memang menjadi trend di kalangan pasangan muda sekarang.

Bagi yang tidak mahu berdepan kerenah mendapatkan pembantu rumah, mereka memilih pusat jagaan sebegini untuk menempatkan anak sementara keluar bekerja.

Selain selamat, anak mendapat didikan yang sewajarnya mengikut peringkat usia.

Melihat kepada perkembangan kanak-kanak sekarang yang cepat matang, memang wajar diwujudkan pusat jagaan sedemikian yang berkonsep pendidikan pra tadika.

Seorang anak teman rapat yang turut belajar di pusat sedemikian pernah mengadu kepada ibunya, dia tidak belajar apa-apa setiap kali ditanya.

“Cikgu suruh makan, lukis dan nyanyi saja,” itulah antara kata-kata anaknya yang berusia empat tahun apabila ditanya ibu.

Jawapan sedemikian menyebabkan ibunya tergelak kerana dia sedar anaknya memang terlebih pintar untuk belajar bersama kanak-kanak seusianya.

Teman Kak Ani yang dikenali sebagai Ein tidak nafikan kecerdasan minda anaknya kerana hubungannya dengan anak memang rapat.

“Sejak kecil dia banyak bermain dengan benda-benda yang boleh membantu perkembangan mindanya.

“Jadi apabila ditempatkan di tadika, dia bukan berdepan dengan benda baru.

“Pernah sekali anak saya cakap tak payah pergi sekolah kerana banyak main.

“Sebenarnya dia lebih suka tinggal di rumah kerana boleh bermain ‘games’ di komputernya, melihat TV yang menjadi kegemaran budak sekarang,” jelas Ein.

Selain itu anak Ein juga banyak terdedah dengan gajet yang ada di pasaran sekarang.

“Apa saja gajet yang dimiliki abahnya dia memang pandai menggunakannya.

“Pernah berlaku dia menyambut kepulangan abahnya dengan menghulur tangan dan meminta abah menyerahkan iPhone yang dipegangnya.

“Si abah pula menyangka anak menghulurkan tangan untuk bersalam. Sedikit pun dia tidak menyangka anaknya menunggu untuk mendapatkan iPhonenya,” jelas Ein.

“Melihat keletah anak, suami menggeleng kepala, tapi itulah hakikat budak-budak sekarang yang berkembang seiring kecanggihan teknologi komunikasi sekarang.

“Pernah sekali, ketika dia berasa sunyi, dia tekan saja telefon dan menghubungi opah atau atuknya. Kalau tidak diperhatikan bermakna banyaklah bil telefon bulan tu,” jelas Ein.

Kalau dilihat kepada perkembangan ini, ada baik dan buruknya.

Baiknya kerana kini sudah ada generasi yang bukan saja celik huruf, tetapi celik komputer dan pelbagai gajet lain.
Yang buruknya, ada pendapat yang mengatakan kanak-kanak yang banyak menonton televisyen, tidak petah bercakap, mungkin kerana hubungan lebih berbentuk sehala.

Kalau dilihat dari perspektif lain, anak sekarang matang terlalu cepat, seolah-olah mereka tidak merasai kehidupan sebenar yang sepatutnya dilalui seseorang kanak-kanak.

Ada ibu bapa yang terlalu sibuk dengan tugas seharian dan terhad masa di rumah bersama anak, tak sedar anak membesar begitu cepat.

Bagi menutup ‘kekurangan’ itu, ada ibu bapa terlalu menurut kata anak sehingga sanggup menyediakan apa saja yang diinginkan anak.

Kak Ani ingin mengingatkan pasangan berkemampuan supaya tidak terlalu riak dengan kemewahan hidup yang mereka miliki.

Menumpahkan kasih sayang kepada anak biarlah berpada, jangan menyesal seperti filem ‘Anakku Sazali’.

No comments:

Post a Comment