nuffnang

LIKE ME

Thursday 21 June 2012

Rakyat paling sikit

Rakyat paling sikit

 FotoSerangan penyakit, bencana alam, peperangan dan perpindahan besar-besaran faktor utama penduduk menyusut

TANGGAL 31 Oktober 2011 mencatatkan sejarah baru kepada dunia apabila jumlah penduduk muka bumi dicatatkan mencapai tujuh bilion manusia. Jumlah itu dijangka bertambah kepada 9.3 bilion orang pada 2050 dan lebih 10 bilion orang menjelang 2100.
Pertambahan itu membimbangkan sesetengah pihak, malah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran pertumbuhan itu akan menyebabkan tekanan berat kepada sumber planet bumi, kecuali tindakan segera diambil untuk mengawal kadar pertumbuhan itu.
Selain masalah kesuburan yang selalu dikaitkan dengan pertumbuhan populasi dunia, faktor lain yang menyebabkan jumlah penduduk sesebuah negara itu menurun adalah ancaman penyakit berjangkit, peperangan, kesan bencana alam dan perpindahan penduduk dalam skala besar.
Namun, beberapa negara besar seperti Jepun, Russia, United Kingdom (UK), Itali dan Jerman dijangka akan mengalami pertumbuhan penduduk yang rendah akibat masalah kesuburan.

Pada masa sama, masih ada negara yang kekurangan penduduk malah jumlahnya sangat mengejutkan iaitu tidak sampai 100 orang - mungkin lebih kecil jumlahnya jika dibandingkan sesetengah perkampungan di sesebuah negara.

Berdasarkan beberapa statistik termasuk yang dikeluarkan PBB sejak 10 tahun lalu, lebih 12 negara dikategorikan sebagai negara kurang penduduk. Jika ada pertambahan penduduk pun, jumlahnya sangat minimum dengan jangkaan untuk lima tahun akan datang menunjukkan jumlah penduduk terus berkurangan.

Persoalannya, mengapa ia masih dianggap sebuah negara sedangkan saiz penduduknya menyamai sebuah perkampungan kecil dan apakah faktor penyebab penduduk negara terbabit menjadi terlalu sedikit?
Selain masalah kesuburan yang selalu dikaitkan dengan pertumbuhan populasi dunia, faktor lain yang menyebabkan jumlah penduduk sesebuah negara itu menurun adalah ancaman penyakit berjangkit, peperangan, kesan bencana alam dan perpindahan penduduk dalam skala besar.

Minggu ini RONA mengumpulkan maklumat 10 negara paling sedikit penduduknya yang kebanyakannya terletak di kepulauan kecil yang terpinggir dan negara jajahan kuasa besar.

1.PITCAIRN ISLANDS

Pernahkah anda mendengar nama negara, Pitcairn Islands? Mungkin ini pertama kali anda mendengar nama berkenaan. Tahukah anda, negara pulau ini adalah negara yang paling sedikit penduduknya di dunia. Negara ini hanya mempunyai 67 orang penduduk saja.

Berdasarkan jumlah penduduknya, negara ini juga menjadi negara yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi terkecil di dunia. Sehingga Julai 2011, negara ini masih di bawah jajahan British yang merangkumi empat buah pulau gunung berapi yang terletak di bahagian selatan Lautan Pasifik. Empat pulau itu adalah Pitcarn, Henderson, Ducie dan Oeno.

Hanya pulau Pitcairn saja yang berpenghuni. Mengikut sejarah, penghuni asal Pulau Pitcairn adalah golongan ‘Bounty Mutineers’ (Pemberontak Bounty) iaitu kelasi kapal perang British bernama ‘Bounty’ yang bangkit menentang dan mengambil alih kapal kerana tidak berpuas hati dengan kapten kapal mereka yang dikatakan sangat kejam.

Sembilan pemberontak ‘Bounty’ ini belayar menuju ke kepulauan Pitcairn pada 1970 diiringi 18 warga Tahiti (6 lelaki, 11 wanita dan seorang bayi) yang menjadi tahanan dalam pelayaran Bounty. Selepas berjaya mendarat di pulau itu, mereka bertindak membakar kapal Bounty. Sehingga kini, serpihan kapal ini masih boleh dilihat dari permukaan air di Teluk Bounty dan kisah berkenaan diceritakan dalam beberapa buah filem seperti Mutiny of the Bounty.

Pada 1937, Pitcairn Islands dicatatkan mempunyai seramai 233 penduduk, namun ramai yang berpindah keluar negara terutamanya New Zealand selain mati akibat penyalahgunaan alkohol, masalah sosial dan pembunuh.

Pada 2009, dicatatkan negara kecil ini mempunyai seramai 45 penduduk saja. Sistem politik di Pitcairn Island adalah mengikut sistem wilayah jajahan yang mempunyai wakil parlimen yang dipilih secara demokratik di mana Datuk Bandar dilantik sebagai ketua Kerajaan. Pusat pemerintahannya terletak di Auckland, New Zealand, namun kuasa ketenteraan dan keselamatannya terletak di bawah tanggungjawab Kerajaan British.

Dikenali sebagai negara kecil tetapi Pitcairn Islands mengandungi sumber semula jadi yang banyak dan sangat produktif malah terkenal dalam aktiviti pertanian seperti penanaman pisang, betik, nanas, mangga, tembikai, oren, kelapa, tebu dan sebagainya. Pulau ini juga terkenal dalam aktiviti pelancongan malah 80 peratus daripada pendapatan tahunan penduduk Pitcairn Island disumbangkan sektor ini.

2. VATICAN CITY

Statistik dikeluarkan PBB sehingga 12 April lalu menunjukkan Vatican City di Rome, Itali, adalah sebuah negara yang diiktiraf sebagai negara ‘merdeka’ yang paling kecil dan paling sedikit jumlah penduduknya di dunia iaitu 460 orang.

Ia mempunyai keluasan tanah sebesar 44 hektar (110 ekar). Kawasan yang terletak dalam wilayah Kota Vatican adalah Dataran St. Peter, Basilika St. Peter dan Istana Apostolik. Wilayah berkenaan dikelilingi satu tembok yang juga sempadan antarabangsa antara Vatican City dengan Itali.

Negara kota ini dibentuk pada 1929 melalui Perjanjian Lateran yang ditandatangani Catero Gaspari yang mewakili pusat Pentadbiran gereja roman katolik dan Benito Mussolini yang mewakili Kerajaan Itali.

Vatican City adalah sebuah kota yang terdapat muzium serta taman tinggalan Empayar Rom yang diisytiharkan Taman Warisan Dunia oleh Unicef. Sumber kewangan negara ini adalah berpunca daripada sumbangan yang dikenali sebagai Peter’s Pence yang didermakan oleh individu atau syarikat penganut Roman Katolik dari seluruh pelusuk dunia.

Sebahagian pendapatan juga dihasilkan melalui penjualan setem, jualan cenderahati, kutipan muzium dan hasil penerbitan. Negara ini tidak mempunyai lebuh raya, landasan kereta api atau lapangan terbang.

Berikutan ia sebuah negara daratan yang dikelilingi oleh bandaraya Rome, negara ini bergantung sepenuhnya kepada kemudahan infrastruktur yang disediakan oleh Itali untuk laluan masuk ke Vatican City. Vatican City adalah pusat pentadbiran Gereja Roman Katolik dunia. Ketua negaranya adalah Pope Benedict XVI.

3. KEPULAUAN COCOS (Keeling)

Negara jajahan Australia ini terletak di Lautan Hindi, bahagian barat Pulau Krismas atau lebih tepat lagi terletak di pertengahan laluan dari Australia ke Sri Lanka berhampiran Indonesia. Mempunyai penduduk seramai 596 orang di mana 80 peratus daripada mereka beragama Islam serta boleh bertutur dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

Kepulauan ini mengandungi dua atol dan 27 pulau terumbu karang, namun tidak mempunyai sumber air bersih dari sungai atau tasik. Penduduknya bergantung sepenuhnya kepada bekalan air bawah tanah dan tadahan air hujan. Ibu negeri Kepulauan Cocos (Keeling) adalah Pulau Panjang manakala penempatan penduduk terbesar adalah Kampung Bantam (Pulau Selma).

Pemerintahan kepulauan ini berasaskan kepada Akta Pulau Cocos (Keeling) 1955 dan ia bergantung kepada undang-undang Australia. Kepulauan ini ditadbirkan dari Canberra oleh Jabatan Peguam Negara (sebelum 29 November 2007 pentadbiran dikendalikan Jabatan Infrastruktur dan Pengangkutan), melalui pentadbir bukan pemastautin yang dilantik Gabenor Jeneral.

Pentadbir terkini adalah Neil Lucas, yang dilantik pada 30 Januari 2006. Beliau juga dilantik Pentadbir bagi Pulau Krismas. Kedua-dua Wilayah ini adalah sebahagian daripada Wilayah Luar Negeri Australia. Kepulauan ini juga mempunyai angkatan polisnya yang tersendiri. Namun, aspek pertahanan di kepulauan itu masih di bawah tanggungjawab kerajaan Australia.

Kegiatan ekonomi utamanya adalah pelancongan seperti sukan air, selam skuba serta alam semula jadi. Sebahagian kecil penduduk pulau ini mengusahakan kebun kecil dan penangkapan ikan untuk sumber bekalan makanan. Sebahagian besar bekalan makanan adalah diperoleh daripada Australia dan tempat lain.

4. TOKELAU

Negara pulau ini masih di bawah jajahan New Zealand dan terletak di Lautan Pasifik Selatan. Pulau dengan keluasan tanah 10 kilometer persegi ini mengandungi tiga buah pulau coral (atoll) tropika didiami 1,151 penduduk dengan kebanyakan mereka kaum pribumi berbangsa Polinesia.

Nama Tokelau berasal daripada bahasa Polinesia yang bermaksud ‘Angin Utara’. Dijumpai pada 1877 dan 1889, Britain dengan secara rasminya menaikkan bendera Union Jack di Tokelau dan mengisytiharkannya sebagai negara di bawah tanah jajahannya. Pada 1926, pemerintahan Kerajaan Tokelau diserahkan kepada New Zealand dan proses mendapatkan kemerdekaan dimulakan pada 2004 dan sehingga kini masih lagi belum mendapat status merdeka.

Tokelau diisytiharkan Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat sebagai negara yang mempunyai ekonomi yang paling kecil di dunia. Semua perbelanjaan untuk urusan pentadbiran kerajaan Tokelau bergantung sepenuhnya kepada subsidi dari kerajaan New Zealand. Eksport utama Tokelau adalah jerami, kelapa dan barangan kraftangan. Purata jangka hayat penduduknya adalah 69 tahun

5. PULAU KRISMAS

Negara ini menjadi wilayah jajahan Australia selepas mendapat persetujuan peralihan kuasa daripada kerajaan UK pada 1957. Terletak di Lautan Hindi atau lebih tepat lagi di selatan Indonesia dan di bahagian barat laut Australia. Lokasinya juga tidak jauh daripada Pulau Cocos.

Dicatatkan jumlah penduduk Pulau Krismas adalah seramai 1,403 orang iaitu 70 peratus adalah orang cina, 20 peratus Eropah dan 10 peratus Melayu. Kebanyakan penduduk tinggal di bahagian utara pulau seperti Kampong Flying Fish, Silver City, Poon Saan dan Drumsite.

Jumlah keluasan tanah ialah kira-kira 135 kilometer persegi dan hampir dua pertiga daripada pulau diwartakan sebagai taman hutan simpanan oleh Kerajaan Australia. Sering menerima kunjungan pelancong asing terutama dari Indonesia kerana ia sangat hampir dengan negara berkenaan. Aktiviti ekonomi di pulau ini adalah perlombongan dan pelancongan.

6.NIUE

Niue juga adalah negara pulau terletak di Lautan Pasifik Selatan. Juga dikenali sebagai ‘Rock of Polynesia’ dan penduduk pulau ini diberi jolokan ‘Rock’. Lokasinya adalah 2,400 kilometer di sebelah timur laut New Zealand dan berada di tengah-tengah garisan tiga segi dibentuk tiga kepulauan iaitu Tonga (barat daya), Samoa (barat laut) dan Cook Islands (tenggara).

Jumlah keluasan tanahnya ialah kira-kira 260 kilometer persegi yang didiami 1,496 orang penduduk yang majoriti penduduk berbangsa Polinesia. Diiktiraf sebagai negara merdeka, namun yang peliknya, tampuk pemerintahan negara pulau kecil ini dikatakan ‘bebas berpersatuan’ dengan New Zealand. Ini bermakna New Zealand masih ada pengaruh dan sedikit kedaulatan dalam mentadbirkan negara berkenaan.

Faktor utama yang menyebabkan keadaan ini ialah kerana semua penduduk Niue memegang kerakyatan New Zealand dan Queen Elizabeth II menjadi lambang pemerintahan New Zealand adalah juga Ketua Negara kepada Niue. Kebanyakan urusan hubungan diplomatik sering dilakukan New Zealand mewakili Kerajaan Niue. Kira-kira 95 peratus rakyat Niue menetap di New Zealand.

Pada 2003, Niue menjadi sebuah negara Wifi di mana kemudahan laluan Wifi secara percuma di seluruh negara oleh Persatuan Pengguna Internet Niue. Aktiviti ekonomi Niue adalah pertanian, perlombongan dan pelancongan dan terkenal dengan sukan rugbi, golf bola sepak dan bowling padang.

7. PULAU NORFOLK

Negara pulau kecil ini terletak di Lautan Pasifik terletak di antara Australia, New Zealand dan New Caledonia dan sebahagian tanah jajahan Australia. Namun, penduduknya mempunyai banyak kebebasan dalam urusan pentadbiran negara. Pada 2011, jumlah penduduk pulau ini adalah 2,302 orang dan mencatatkan kadar pertumbuhan penduduk yang negatif sejak 2001 (2,601 orang).

Majoriti penduduk pulau ini berbangsa Eropah (British) atau kacukan keturunan Tahiti yang berasal daripada Australia dan New Zealand. Sebahagian penduduknya mempunyai salasilah keluarga yang berasal daripada Kepulauan Pitcairn. Aktiviti ekonomi adalah pelancongan walaupun pulau ini tidak memiliki sebarang kemudahan kereta api, terusan atau pelabuhan.

Jeti pemunggah hanya boleh didapati di Kingston dan Cascade. Namun, kapal pengangkut barang tidak boleh berlabuh di jeti berkenaan. Barangan keperluan hanya boleh dipunggah menggunakan bot pemunggah yang lebih kecil.

Bagaimanapun, pulau ini mempunyai kemudahan lapangan terbang untuk kegunaan kapal terbang penumpang dan pengangkut. Jajaran jalan raya pulau sepanjang kira-kira 80 kilometer (km) dengan 27 km daripadanya tidak berturap. Menarik di pulau ini, lembu mempunyai hak keistimewaan keutamaan laluan di jalan raya (Right of Ways) dan pengguna jalan raya lain perlu mematuhinya”.

8. PULAU FALKLAND

Pulau ini terletak di bahagian selatan Laut Atlantik dan barat laut benua Amerika Selatan. Negara ini menjadi tanah jajahan Britain sejak 1833, namun sehingga kini ia menjadi rebutan antara Britain dengan Argentina. Peperangan Falkland meletus antara Argentina dan Britain pada 1982 dan berpanjangan sehingga dua bulan.

Peperangan ini di akhiri dengan pengunduran tentera Argentina. PBB menganggarkan penduduk Falkland Islands seramai 2,955 pada 12 April lalu. Penduduk utamanya adalah keturunan British, Perancis, Gibralta dan Skandinavia. Kadar pertumbuhan penduduk di antara 1851 sehingga 1911 mencatatkan peningkatan dari 287 orang kepada 2,272 orang penduduk.

Namun, ia semakin menurun antara 1931 sehingga 1980 dari 2,392 orang kepada 1,813 orang kesan pertelagahan antara kerajaan UK dengan Argentina yang disusuli peperangan pada 1982. Pada 2006, kadar pertumbuhan penduduknya mencatatkan peningkatan kembali kepada 2,094 orang berikutan penghijrahan masuk penduduk daripada UK, Saint Helena dan Chile.

9. SVALBARD dan JAN MAYEN

Kedua-dua pulau ini berada di bawah jajahan takluk kerajaan Norway sejak 1925 (Svalbard) dan 1929 (Jan Mayen). Sehingga 12 April lalu, PBB mencatatkan jumlah penduduk di kedua-dua pulau ini adalah 3,431 orang. Kepulauan Svalbard ditemui bangsa Norway pada kurun ke-12 dan dijadikan pangkalan aktiviti penangkapan ikan paus di antara kurun ke-17 dan ke-18.

Norway diiktiraf sebagai pemegang hak kedaulatan kepulauan ini pada 1920. Lima tahun kemudian secara rasminya mengambil alih kuasa pemerintahan. Pulau Svalbard terletak di bahagian utara Eropah, di kepulauan antara Lautan Artik, Lautan Barents, Lautan Greenland, Lautan Norwegian dan berada di bahagian utara Norway.

Salvabard adalah sebuah kepulauan yang mengalami iklim artik yang sentiasa sejuk sepanjang tahun dan sebahagian besar kawasan pergunungan yang sentiasa diliputi ais. Kegiatan ekonomi utama adalah perlombongan arang batu, pelancongan dan Pusat Kajian Artik Antarabangsa. Perjanjian pada 9hb Februari 1920 memberikan hak kepada 41 buah negara untuk mengambil hasil galian di Svalbard tertakluk kepada syarat-syarat yang dikenakan kerajaan Norway.

Kebanyakan penduduk pulau ini pekerja syarikat lombong arang batu. Jan Mayen pula adalah sebuah pulau gunung berapi yang terletak utara Eropah di Lautan Artik yang bersempadanan dengan Laut Norway dan Laut Greenland, di bahagian Timur laut Iceland. Pulau ini tidak mempunyai penghuni tetap dan diberi nama sempena seorang kapten pemburu ikan paus berbangsa Belanda yang menemui pulau ini pada 1614.

Gunung berapi Beerenberg di pulau ini dikenalpasti sebagai gunung berapi aktif yang terletak paling utara dunia. Gunung berapi ini mula aktif pada 1970 dan letupan terbaru berlaku pada 1985. Namun, dipercayai Jan Mayen mempunyai potensi sumber ikan yang banyak dan dikatakan mempunyai potensi simpanan petroleum bawah laut yang masih belum lagi diterokai.

10. SAINT HELENA, ASCENSION dan TRISTAN da CUNHA

Saint Helena, Ascension and Tristan Da Cunha adalah sebuah negara gugusan tiga buah pulau utama iaitu pulau Saint Helena, pulau Ascension dan pulau Tristan Da Cunha. Pulau-pulau ini adalah terbentuk daripada aktiviti gunung berapi yang dikaitkan dengan ‘Atlantic Mid-Ocean Ridge’.

Penduduk negara pulai ini adalah keturunan Afrika (50 peratus), kulit putih (25 peratus) dan Cina (25 peratus). PBB mencatatkan pada 12 April lalu, jumlah penduduk rasmi negara ini adalah 4,250 orang.

Pekerjaan utama penduduknya adalah perikanan, penternakan dan kraftangan. Kira-kira 25 peratus daripada penduduknya keluar mencari pekerjaan di kepulauan berhampiran dan UK. Keadaan itu dijangka berterusan dan akan mengurangkan jumlah penduduk

No comments:

Post a Comment