nuffnang

LIKE ME

Thursday 21 June 2012

Pulih cepat

 Pulih cepat

 FotoTeknik MIS jadi pilihan pesakit tulang belakang atas faktor prosedur mudah, enggan ditahan lama dalam wad

TEKNIK pembedahan kurang invasif atau minimally invasive surgery (MIS) kini mendapat permintaan tinggi di kalangan pesakit.
Insisi, parut dan tisu parut lebih kecil selain faktor kehilangan darah dan rasa sakit dikurangkan, dikatakan menjadi menjadi antara faktor yang mendorong meningkatnya permintaan terhadap teknik MIS.
TLIF adalah sejenis teknik penggabungan tulang belakang (spinal fusion) yang sering dijalankan sebagai prosedur pembedahan invasif minimum - Dr Dean Lin, Pakar Bedah Tulang Belakang dan Neuro dari Lee Memorial Hospital Florida, Amerika Syarikat
Ini termasuk pembedahan invasif minimum tulang belakang (MIS) Transforaminal Lumbar Interbody Fusion (MIS TLIF) iaitu teknik rawatan inovatif endoskopi bagi masalah gangguan tulang belakang. Ini dilihat seperti dalam penyakit seperti diska degeneratif (merosot), diska hernia (burut), keretakan, ketumbuhan, jangkitan, ketidakstabilan dan kecacatan.

Tekanan pada saraf menyebabkan rasa sakit, kebas serta lemah pada bahagian tulang belakang lumbar boleh mengganggu walaupun sekadar rutin harian yang mudah. Apabila rawatan selain pembedahan gagal mengawal gejala penyakit, pembedahan segera perlu dijalankan. Keadaan ini biasanya membabitkan prosedur penyahmampatan tulang belakang dan kemungkinan penggabungan tulang belakang (spinal fusion).

Bagi prosedur TLIF tradisional, kaedah ini dijalankan dengan melakukan insisi di bahagian tengah belakang badan bagi menampakkan tulang belakang. Ternyata dari segi sejarah, prosedur ini sangat berjaya. Bagaimanapun, dengan kemajuan teknologi sains dan perubatan, ia mampu dilakukan dengan pendekatan yang lebih selamat dan kurang invasif.

Pakar Bedah Tulang Belakang dan Neuro dari Lee Memorial Hospital Florida, Amerika Syarikat (AS), Dr Dean Lin pada bengkel pembedahan secara langsung yang pertama seumpamanya anjuran Sri Kota Specialist Medical Centre (SKSMC) dan Perintis Medik baru-baru ini, menjelaskan, MIS TLIF secara teknikalnya mencabar untuk dikuasai.
Dr Lin berkata, kajian mendapati pesakit akan melalui proses penyembuhan yang lebih cepat melalui teknik MIS.

“Dengan kesediaan pakar bedah untuk melangkah setapak ke hadapan selain wujud permintaan yang tinggi terhadap pembedahan invasif minimum dari pesakit, industri mula bergerak seiring dengan memajukan teknologi bagi membolehkan pembangunan teknik ini,” katanya pada bengkel yang turut memperkenalkan sistem Romeo2 MIS keluaran Spineart yang digunakan dalam rawatan gangguan tulang belakang lumbar toraks.

Dr Lin yang juga penceramah jemputan berkata, antara cabaran utama prosedur MIS adalah penggunaan terlalu banyak instrumen; teknik yang agak sukar untuk dikuasai,; pendedahan radiasi atau masalah berkaitan pengendalian Kirschner wire (K-wire) yang masih belum diselesaikan sepenuhnya industri perubatan buat masa ini.

“TLIF adalah sejenis teknik penggabungan tulang belakang (spinal fusion) yang sering dijalankan sebagai prosedur pembedahan invasif minimum.

“Teknik ini digunakan bagi memulihkan ketinggian diska dan menggabungkan vertebra yang rosak atau teralih secara kekal di sekitar bahagian bawah belakang tubuh.

“Tidak seperti pembedahan terbuka, pendekatan MIS TLIF membenarkan tulang belakang lumbar dirawat menerusi insisi kecil di belakang. Pengembangan otot secara perlahan memisahkan otot di sekeliling tulang belakang berbanding teknik memotong menghasilkan gangguan kecil terhadap otot dan tisu lembut,” katanya.

Dr Lin berkata, prosedur ini biasanya kurang traumatik dan tidak mengganggu tubuh berbanding pendekatan pembedahan tradisional, malah memberi ruang kepada pesakit untuk pulih lebih awal.

Keadaan seperti penyakit diska degeneratif, stenosis tulang belakang atau spondylolisthesis boleh menyebabkan ketidakstabilan tulang belakang dan penderitaan yang menyakitkan. Sasaran utama MIS TLIF adalah untuk menstabil tulang belakang dengan memulihkan ketinggian diska dan menggabungkan vertebra bersama selain meningkatkan kestabilan tulang belakang dan mengurangkan pemampatan saraf.

Pada bengkel pembedahan secara langsung di SKSMC baru-baru ini, Dr Lin selaku pengajar mengetuai pembedahan bersama sekumpulan pakar termasuk Perunding Ortopedik SKSMC, Dr John Ooi. Ia antara lain bertujuan mendedahkan dan melatih pakar bedah tulang belakang dengan pengendalian sistem inovatif MIS TLIF yang sangat bermanfaat kepada pesakit.

Berbanding pembedahan MIS, pembedahan terbuka lumbar (belakang) tradisional terdedah kepada kerosakan yang berlaku akibat insisi lebih besar iaitu 12 hingga 15 sentimeter. Tisu normal juga berpotensi terdedah kepada beberapa punca kerosakan. Otot yang dibedah perlu diregang untuk mendedahkan bahagian tulang belakang (keadaan ini mengakibatkan terbentuknya parut dan tisu fibrotik), saluran darah perlu dilecuhkan dan tulang perlu dikeluarkan.

Gangguan pada anatomi semula jadi tulang belakang perlu bagi membolehkan penyahmampatan saraf dan peletakan skru dan kelengkapan bagi menstabilkan tulang belakang. Ini menyebabkan tempoh menginap di hospital menjadi lebih lama (hingga lima hari atau lebih); tempoh pemulihan dan sakit yang berpanjangan; perlunya penggunaan narkotik pasca operasi; hilang sejumlah darah dan risiko jangkitan tisu.

“Disebabkan itu makin ramai pesakit lebih cenderung kepada teknik seperti MIS TLIF kerana kurang kerosakan tisu lembut, kurang penyentapan otot, penggunaan narkotik pasca operasi dikurangkan selain tempoh menginap lebih singkat.

“Mereka juga memilih kaedah ini kerana kemungkinan dijalankan rawatan pesakit luar, tempoh pulih lebih cepat dan lebih cepat kembali bertugas serta menjalani rutin harian,” katanya.

Jalani prosedur sebagai pesakit luar

MENGIKUT kajian kes, pesakit yang sering mengalami masalah penyakit diska degeneratif, stenosis tulang belakang, diska hernia (burut) atau spondylolisthesis berusia 50 tahun ke atas.

Menurut Perunding Pembedahan Ortopedik SKSMC, Dr John Ooi, pesakit biasanya akan mengadu merasa sakit di kaki iaitu kesakitan dalam otot di kedua-dua kaki seperti mencucuk-cucuk terutama ketika berjalan. Ada di antara pesakit mengalami kesakitan dalam otot juga sakit seperti dihiris pisau.

“Gejala lain juga termasuk sakit belakang, rasa kebas dan lemah di kaki,” kata Dr Ooi yang juga pengerusi penganjur bersama bengkel berkenaan.

Dr Ooi berkata, tidak semua pesakit layak menjalani teknik rawatan MIS TLIF malah hanya disarankan kepada pesakit selepas saringan ketat.

Beliau berkata, pesakit perlu lebih dulu melalui tempoh rawatan konservatif seperti terapi fizikal dan pengambilan ubat-ubatan untuk merawat penyakit. Jika tiada sebarang perubahan dari segi kesihatan, barulah prosedur pembedahan boleh dipertimbangkan.

Tempoh rawatan konservatif pula bergantung kepada pelbagai keadaan tertentu dan prosedur yang sesuai, tetapi ada kalanya enam minggu hingga enam bulan. Manfaat rawatan secara pembedahan perlu sentiasa dipertimbangkan sewajarnya terutama risiko yang perlu dihadapi.

Bagaimanapun, pesakit sekarang sangat berilmu dan cekap mencari sumber maklumat dari segi pilihan prosedur rawatan yang dirasakan lebih selamat.

“Prosedur MIS TLIF boleh dijalankan sebagai rawatan pesakit luar. Malah dalam kes-kes tertentu, pakar bedah akan menahan pesakit hanya selama dua hingga empat hari bergantung kepada prosedur untuk tujuan pemantauan sebelum dibenarkan pulang.

“Namun bagi pesakit, keesokan hari selepas pembedahan biasanya mereka sudah mampu bangun dan berjalan,” katanya.

Tambah Dr Ooi, apa yang berbeza dengan prosedur pendekatan TLIF adalah pembedahan itu dijalankan secara unilateral (sisian) dan graf tulang dimasukkan ke ruas diska menerusi bahagian tepi. Ini diikuti dengan proses menggunakan sinar x-ray berpandu, di mana insisi berukuran dua hingga empat sentimeter dibuat.

Berikutan itu. otot mengembang secara berperingkat dan tiub penyentap dimasukkan bagi membolehkan rawatan dijalankan ke kawasan yang terjejas sekitar tulang belakang lumbar. Proses keseluruhan pembedahan ini mengambil masa dua hingga tiga jam untuk dilaksanakan.

Prosedur TLIF lazimnya lebih sesuai kepada pesakit yang mengalami masalah tulang belakang bahagian bawah iaitu L3 hingga S1 dan mengambil masa enam minggu untuk kembali kepada rutin harian.

Walaupun sejumlah besar peratusan pesakit melaporkan sakit yang makin pulih serta gejala berkurangan, tiada jaminan bahawa pembedahan boleh membantu setiap individu

No comments:

Post a Comment