nuffnang

LIKE ME

Thursday 21 June 2012

Godaan Ramadan

Godaan Ramadan

 Janjikan ganjaran, sedia menu istimewa pujuk anak puasa

HANYA tinggal sehari lagi kita akan menyambut Ramadan, bulan penuh berkat yang ditunggu oleh semua umat Islam.
Biasanya apabila tiba bulan mulia ini, banyak pihak sibuk membuat persediaan.
Ahli jawatankuasa masjid sibuk dengan kegiatan gotong-royong membersihkan masjid dan menyenaraikan program perlu untuk mengimarahkan Ramadan termasuk mengadakan tadarus al-Quran.

Bagi peniaga bermusim pula, inilah juga masa menunjukkan sampel biskut raya untuk dirasa sebelum pelanggan buat pilihan untuk tempahan.

Bagi yang berniaga kain pula tak menang tangan menjinjing beg penuh barang niaga untuk ditunjukkan kepada teman sepejabat.

Di luar sana, gedung beli-belah sudah lama memukul canang jualan istimewa hari raya. Di dada akhbar penuh dengan iklan jualan diskaun. Begitu jauh ke depan golongan yang ghairah mengaut untung, mencari kesempatan menggoda nafsu umat Islam.
Di rumah pula sudah ada suara ibu bapa yang meminta anak kurangkan makan untuk membiasakan diri apabila berpuasa nanti.

Ada juga yang meminta anak berpuasa sunat pada bulan Syaaban, supaya tidak berlaku kejutan apabila berdepan Ramadan.

Kongsi Rasa kali ini ingin menyingkap pengalaman dan persediaan yang dilakukan umat Islam apabila menyambut Ramadan.

Kalau ditanya kepada sesetengah orang, apakah yang bakal mereka lakukan apabila menyambut Ramadan, ada yang lebih fokus mengenai juadah berbuka dan bersahur.

Seorang bapa yang dikenali sebagai Din berkata, dia lebih utamakan juadah bersahur.

“Bukan senang hendak mengejutkan anak bangun awal pagi untuk sahur pada peringkat awal berpuasa. Saya kena sediakan makanan yang boleh memikat selera mereka,” katanya.

Antara makanan yang tersenarai dalam fikirannya ialah makanan segera yang boleh didapati 24 jam. Din tiada masalah untuk menyediakan juadah itu kerana sebagai pemandu teksi, dia lebih banyak menghabiskan masa bekerja pada waktu malam.

Bagi menyediakan juadah berbuka, Din dan keluarga lebih suka berbelanja di pasar Ramadan yang mempunyai banyak pilihan.

“Semua hidangan boleh didapati di pasar Ramadan. Kita perlu tunjuk dan bayar saja,” katanya.

Menurut Din yang dilahirkan di Padang, Indonesia dan sudah bermastautin di sini sejak berusia belasan tahun, suasana Ramadan di Padang ada sedikit berbeza.

Remaja lelaki lebih banyak menghabiskan masa di masjid dan madrasah. Boleh dikatakan sepanjang bulan itu mereka berbuka, bersahur, bertadarus dan tidur di masjid dan madrasah berdekatan tempat tinggal mereka.

Remaja ini juga memainkan peranan penting untuk mengejutkan penduduk bangun sahur dengan mengetuk tin, tong keliling kampung.

Sepanjang pengalaman menjadi pemandu teksi, Din memang mengikuti perkembangan remaja kita yang suka berpeleseran setiap malam di kelab-kelab yang ada sekitar kota.

“Pada minggu pertama puasa, memang jelas remaja kurang berpeleseran di kelab-kelab pada waktu malam. Bagaimanapun apabila masuk minggu kedua dan seterusnya, mereka kembali semula dengan kegiatan lama,” katanya.

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak yang masih kecil, mereka biasanya menjanjikan ganjaran kepada anak yang mula belajar berpuasa. Jika mampu menghabiskan puasa sehingga ke petang dalam masa sebulan, ganjarannya pasti lebih besar.

Trend memberi ganjaran sudah menjadi kebiasaan kepada ibu bapa kini dalam usaha memujuk anak melaksanakan rukun Islam ketiga.

Ganjaran ini biasanya diberikan ikut kemampuan ibu bapa. Ada yang menawarkan wang raya atau peralatan sekolah yang diperlukan anak, malah ada yang menawarkan pakej percutian. Betapa beruntungnya anak-anak sekarang yang hidup dikelilingi kemewahan. Berbeza sekali dengan kanak-kanak dulu yang berpuasa atas kesedaran bukan kerana janji diberikan ganjaran.

Bagi wanita berkerjaya, mereka lebih suka membeli juadah berbuka kerana tuntutan tugas dan waktu terhad menyukarkan mereka memasak. Walaupun masa pulang kerja awal sikit daripada biasa, tetapi kesesakan di jalan raya menyebabkan mereka tidak mempunyai masa yang cukup untuk memasak juadah berbuka.

Kesempatan memasak hanya pada waktu sahur. Mereka biasanya bangun awal menyediakan juadah bersahur dan memilih bersahur lewat bagi membolehkan mereka menguruskan anak sekolah dan seterusnya bersiap ke pejabat.

Pada masa dulu, ketika tidak ramai wanita bekerjaya, ibu adalah orang yang paling teruja membuat persediaan menyambut Ramadan.

Kak Ani masih ingat, mak bertungkus lumus membersih rumah, buang segala sawan kerana kerja berat ini tak mungkin dilakukan ketika berpuasa.

Pada Ramadan, mak keluarkan pinggang mangkuk baru yang sebelum itu jadi perhiasan dalam almari untuk digunakan. Juadah berbuka semua dimasak emak termasuk kuih-muih. Masa sahur mak tambah lauk baru supaya anak ada selera makan. Semua ini dilakukan untuk menarik anak berpuasa sebulan.

Pengalaman yang Kak Ani lalui ini mungkin tidak lagi dirasai generasi muda kini. Kak Ani sendiri pun walaupun ada peluang memasak untuk anak, tetapi juadah terpaksa dimasak selepas Zohor sebelum masuk kerja pada sebelah petang.

Apabila masuk waktu berbuka, anak, suami menikmati juadah yang sudah sejuk di rumah, manakala Kak Ani pula macam biasa berbuka bersama rakan di surau pejabat.

Sebenarnya kepuasan berpuasa bukan kerana tarikan juadah, tetapi kesedaran menunaikan rukun Islam ketiga. Jika ada kesedaran ini kemanisan berpuasa pasti dirasai dengan meningkatkan amal ibadat dan mengekang perkara mungkar dengan bersenjatakan ibadat puasa.

No comments:

Post a Comment