nuffnang

LIKE ME

Thursday 21 June 2012

Bedah lubang kunci

 Bedah lubang kunci

 needlescopic cholecystectomy teknik terbaik atasi masalah batu karang hempedu terutama wanita

MASALAH batu karang hempedu berlaku akibat ketidakseimbangan kimia di antara mendapan kolesterol dalam pundi hempedu. Masa yang lama diperlukan untuk batu karang hempedu terbentuk daripada butiran kecil bersaiz pasir kepada batu yang lebih besar. Pundi hempedu sebenarnya berfungsi sebagai organ penyimpanan cecair pekat sehingga ia diperlukan untuk mencerna lemak di dalam usus kecil anda.
Perunding Am dan Pakar Bedah Hepatobiliari-Pankreas, Sunway Medical Centre (SMC), Dr Bong Jan Jin menjelaskan, apabila terbentuknya butir pasir di dalam pundi hempedu, ia menyebabkan cecair di dalamnya semakin pekat berpunca bahan kimia yang tidak seimbang lalu menyebabkan partikel keras sebelum terbentuknya batu karang hempedu.
Dr Bong berkata, penyakit ini selalunya dirawat menggunakan pelbagai kaedah termasuk prosedur laparoscopic iaitu prosedur pembedahan bersaiz lubang kunci (keyhole) yang menggunakan instrumen kecil khusus bagi tujuan pembedahan. Dalam hal ini, kunci kejayaan prosedur ini adalah sistem kamera yang sangat baik.

“Sekarang pakar menggunakan kamera definisi tinggi. Oleh itu, mereka mampu mendekati tekstur dan menterjemah ruang monitor TV tiga dimensi kepada dua dimensi bagi membolehkan pembedahan dikendalikan.

“Prosedur begini memerlukan latihan, skil dan kepakaran yang sangat tinggi," katanya ketika ditemui kolum Sihat, baru-baru ini.

Laparoscopic Cholecystectomy boleh dikatakan sebagai prosedur rawatan pilihan di Malaysia sekarang di mana 90 peratus pesakit berjaya menjalankan pembedahan laparoscopic. Manakala selebihnya iaitu 10 peratus adalah pembedahan terbuka. Pembedahan terbuka adalah teknik paling rumit di mana pesakit berada dalam keadaan serius dengan anatomi yang tidak begitu jelas.
Pembedahan konvensional laparoscopic kini berkembang setapak lagi mengikut evolusi. Bukan saja instrumen yang digunakan makin bijak, malah saiznya juga makin kecil hingga mencecah tiga milimeter. Ia bertujuan memberikan lebih keselesaan dan mengurangkan kesakitan kepada pesakit.

Keadaan ini sangat lazim di kalangan wanita muda di antara 30 hingga 40 tahun. Soalnya, mengapa perlu luka pembedahan yang besar apabila ada instrumen yang berupaya menghasilkan luka pembedahan yang sangat kecil dan lama-kelamaan hilang dari pandangan.

Prosedur yang dikenali sebagai Needlescopic Cholecystectomy (NC) ini bukan saja mampu menjalankan pembedahan lubang kunci kepada pesakit batu karang hempedu, malah mereka yang menghidap apendiks. Prosedur ini cukup sesuai dengan wanita muda berusia 18 hingga 20 tahun yang bimbangkan ketidaksempurnaan dari segi kosmetik selepas pembedahan.

Bagaimanapun, NC memerlukan latihan khusus, ini bermakna generasi pakar pembedahan am yang lebih berusia mungkin tidak mampu melakukannya.

Selain kosnya yang lebih menjimatkan, kriteria pesakit boleh dikatakan 90 peratus datang dari pelbagai latar belakang, tidak kira usianya dan betapa seriusnya keadaan pesakit. Pesakit ketika itu juga perlu cukup sihat untuk diberikan bius awam. Pembedahan ini mengambil masa 30 hingga 45 minit di mana pesakit akan berehat semalaman sebelum dibenarkan pulang keesokan harinya.

Kini, dunia prosedur laparoscopic dibantu oleh instrumen yang lebih baik. Sehubungan itu, menjadi tanggungjawab pakar perubatan untuk menawarkan kepada pesakit kesan kosmetik yang lebih baik serta tidak menyakitkan.

Kata Dr Bong, NC masih terlalu baru di negara ini. Bagaimanapun SMC adalah pusat perubatan pertama di Malaysia yang menggunakan prosedur itu sejak beberapa bulan lalu. Sehingga kini 10 hingga 15 pesakit sudah menjalani prosedur itu dan hasilnya cukup membanggakan.

Bagaimanapun, prosedur ini juga pada asasnya berisiko mencederakan duktus hempedu sebanyak 0.2 peratus jika dilakukan pakar yang tidak berpengalaman. Sebaik duktus hempedu cedera, komplikasinya membabitkan empat hingga lima jam pembedahan bagi mencantumkannya semula.

Biarpun ia mampu dicantumkan kembali dan disatukan dengan hempedu kecill, pesakit akan mengalami komplikasi jangka panjang sebagai contoh jangkitan berulang dan juga scirosis hati. Risiko ini agak kecil namun jumlah kes membabitkannya agak tinggi di Malaysia.

Jelas Dr Bong lagi, memiliki instrumen terbaik untuk tujuan rawatan adalah membantu. Namun, perkara paling utama yang perlu ditekankan adalah memilih pakar bedah yang benar-benar berpengalaman berikutan NC adalah prosedur yang cukup rumit.

“Sebagai pakar duktus hempedu, saya banyak melakukan pembedahan pembetulan akibat kesilapan dan kecederaan pada duktus hempedu yang dijalankan pakar bedah am yang tidak berpengalaman," katanya yang menjelaskan jika duktus hempedu ini cedera, maka pesakit turut berhadapan risiko kecacatan sepanjang hayat.

Inovasi atasi sakit hempedu ceriakan Tan

SELEPAS melahirkan bayi pertamanya beberapa bulan lalu, Tan Loke Key, 27, sering mengadu sakit di bahagian perut. Bimbang masalah itu ada kena mengena dengan proses kelahiran anaknya, Tan mendapatkan bantuan pakar perubatan untuk mengesan punca kesakitannya yang berulang.

Ternyata sangkaan pegawai pentadbiran di sebuah syarikat swasta di Kepong ini meleset. Kesakitan secara berulang yang dialaminya selama ini rupanya disebabkan oleh batu hempedu yang terbentuk di dalam saluran hempedu.

“Saya langsung tidak tahu bahawa manusia boleh mengalami masalah begini seawal usia 20-an, namun itulah hakikat yang perlu saya telan. Apatah lagi bayi sulung saya baru berusia tiga bulan dan masih memerlukan perhatian sepenuhnya terutama menyusu,” katanya ketika ditemui kolum Sihat di Pusat Perubatan Sunway, baru-baru ini.

Jelas Tan lagi, dia agak kurang bernasib baik kerana sebahagian batu hempedu yang pada asalnya terbentuk dalam pundi hempedu bergerak melalui saluran hempedu menyebabkan sekatan pada duktus hempedu (bile duct). Lazimnya, batu hempedu yang terbentuk akan berada dalam pundi hempedu pesakit. Sebaliknya, dalam kes ibu kepada bayi lelaki comel ini, ia menjadi lebih rumit.

“Menurut doktor, akibat gerakan batu-batu hempedu itu dan sekatan yang berlaku pada saluran hempedu, enzim pada hati mula meningkat. Ini terbukti pada hasil ujian darah yang menunjukkan bacaan tidak normal. Ini menyebabkan duktus hempedu sedikit mengembang.

“Saya sangat takut selepas diberitahu, pilihan rawatan yang terbaik adalah untuk keadaan saya yang tidak normal adalah dengan melakukan dua prosedur iaitu pembedahan bagi mengeluarkan batu hempedu dipanggil MRCP sejenis pembedahan kecil (keyhole) dan menyuntik sejenis pewarna bagi mengesan batu-batu yang bergerak menyekat saluran hempedu,” katanya.

Dalam prosedur ini, abstrak pewarna x-ray perlu disuntik ke dalam duktus hempedu bagi mengesan kehadiran batu hempedu.

Bagaimanapun, Tan bernasib baik ketika prosedur berkenaan dijalankan batu-batu hempedu terbabit tidak lagi menyekat saluran berkenaan kerana ia mula bergerak ke hempedu kecil.

Tan bersyukur doktor tidak perlu melakukan prosedur tambahan bagi mengesan pergerakan sisa-sisa batu berkenaan malah terus menutup duktus hempedu itu.

“Proses pembedahan mengambil masa satu setengah jam kerana keadaan tidak normal penyakit saya. Saya diberitahu lazimnya prosedur bersaiz lubang kunci yang dipanggil NC biasanya hanya mengambil masa 30 hingga 45 minit saja,” kata Tan.

Lebih mengejutkan lagi, menurut Tan, bukan saja luka pembedahan dari segi kosmetiknya sangat kecil, malah beliau langsung tidak merasa sakit atau mengalami kesan sampingan selepas menjalani prosedur berkenaan.

Malah, sehari selepas prosedur dikendalikan, Tan sudah dibenarkan pulang dan boleh menjalankan aktiviti harian yang normal seperti biasa.

“Saya dan keluarga sangat bersyukur semuanya berjalan dengan lancar dan selamat. Sekarang saya sedar bagaimana perkembangan inovasi termaju dalam bidang perubatan mampu meningkatkan kualiti hidup anda tanpa perlu melalui derita sakit yang berpanjangan,” katanya

No comments:

Post a Comment